AMANAH Perak arah jentera pilihan raya digerakkan segera

AMANAH Perak arah jentera pilihan raya digerakkan segera

IPOH: Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak mengarahkan semua jentera parti itu agar memulakan gerak kerja pilihan raya bermula pada 1 Jun 2020 ini bagi persediaan kemungkinan ‘luar jangka’ akan berlaku Pilihan Raya Umum (PRU) awal yang melibatkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Naib Pengerusi AMANAH Perak, Dr Muhaimin Sulam dalam satu kenyataannya berkata, kerjasama antara kompenan parti di dalam Pakatan Harapan (PH) juga perlu dipertingkatkan dengan menyusun gerak kerja bersama.

“Mesyuarat Sekretariat Parlimen PH juga perlu diaktifkan semula berdasarkan sebarang kemungkinan di masa yang terdekat kini,” kata beliau lagi.

AMANAH Perak juga, katanya, mengharapkan Mesyuarat Majlis Presiden dan Majlis Pimpinan Negeri dapat memuktamadkan pembahagian kerusi agar jentera parti dapat memfokuskan gerak kerja yang lebih berkesan “dan akhirnya meraih kemenangan yang lebih besar lagi selepas ini dan mengharapkan isu-isu berbangkit juga diselesaikan lebih awal.”

Arahan ini dikeluarkan ketika desas desus bertiup kencang kononnya Parlimen akan dibubar selepas wabak Covid-19 reda bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan semula.

Ini kerana, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ada sudah tidak mampu bertahan lagi selepas tidak mempunyai majoriti yang cukup di Dewan Rakyat.

Ia dibayangkan oleh pelbagai helah digunakan oleh Kerajaan PN untuk tidak membolehkan usul undi tidak percaya terhadap PM dibawa ke sidang Dewan Rakyat.

Namun begitu, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad sebelum ini menolak Parlimen akan dibubarkan kerana pihak yang paling bermasalah dalam pilihan raya adalah Bersatu pimpinan PM Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Yang nakkan Parlimen dibubarkan adalah Umno dan Pas bukan Bersatu,” kata Khalid dalam satu sidang media baru-baru ini.

Kuasa untuk menasihatkan Yang Dipertuan Agong untuk membubarkan Parlimen terletak di tangan Perdana Menteri iaitu Muhyiddin.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )