Pondok tahfiz nafi jadi punca pelajar dijangkiti Covid-19 di Batu Gajah

Pondok tahfiz nafi jadi punca pelajar dijangkiti Covid-19 di Batu Gajah

BATU GAJAH: Seorang pelajar tahfiz yang dilapor positif wabak koronavirus (Covid-19) bukan menerima jangkitan daripada pusat pendidikan itu sepertimana tular di media sosial.

Pengetua Pondok Tahfiz As Sharif Seri Jaya, Azizul Yahya berkata, pengajian di pusat berkenaan telah dihentikan sementara berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan remaja berusia 14 tahun yang dimaksudkan telah lama tidak hadir mengikuti pengajian sejak Februari lagi.

“Semalam kami diberitahu mengenai seorang pelajar yang pernah belajar di sini telah dijangkiti Covid dan berstatus positif. Jadi kami perlu membuat kenyataan benar kerana ada dakwaan dibuat seorang wanita kononnya ia berpunca dari pusat pendidikan ini, kenyataan individu itu telah mengelirukan semua pihak.

“Sejak ditutup hampir tiga bulan lalu, pondok tahfiz ini tidak lagi menerima kehadiran seorang pelajar pun,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, dakwaan dibuat wanita terbabit yang disebar menerusi nota rakaman suara dan dikongsi orang ramai telah menyebabkan imej pondok tahfiz itu tercalar serta dihujani pelbagai fitnah.

“Saya sendiri dari petang semalam hingga kini menerima berpuluh panggilan yang bertanyakan kebenaran perkara itu. Saya telah membuat satu laporan polis mengenai isu ini dan berharap sebaran maklumat tidak benar itu dihentikan bagi mengelak keadaan lebih keruh,” katanya.

Pondok tahfiz itu beroperasi lebih setahun lalu dan kini menempatkan seramai 25 pelajar.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri mengesahkan menerima laporan yang dibuat pengurusan pondok tahfiz terbabit.

“Siasatan awal kita dapati, pusat pendidikan itu sudah tiga bulan ditutup tanpa kehadiran pelajar,” katanya.

Difahamkan, remaja berkenaan telah melalui proses kuarantin melibatkan ahli keluarga dan kontak rapat.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, Perak merekodkan pertambahan satu kes positif Covid-19 menjadikan keseluruhan 256 kes.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )