Pemandu lori ceroboh kawasan Istana Iskandariah dipenjara 33 bulan

Pemandu lori ceroboh kawasan Istana Iskandariah dipenjara 33 bulan

KUALA KANGSAR: Tindakan seorang pemandu lori menceroboh kawasan Istana Iskandariah, di sini dan membawa sepucuk pistol tiruan pada 25 Mei lepas membawa padah, apabila dia dijatuhi hukuman penjara 33 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nurul Asyifa Redzuan menjatuhkan hukuman itu secara berasingan terhadap Muhammad Lokman Mohamad Termizi, 30, selepas dia mengaku bersalah atas empat pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Lokman didakwa dengan niat menakutkan seorang penjawat awam, Muhd Firdaus Abd Razak, yang menjalankan kewajipannya secara sah di sisi undang-undang dengan mengacukan objek menyerupai sepucuk pistol ke arahnya di kawasan anjung istana tersebut, pada 8.05 pagi 25 Mei lepas.

Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap tertuduh mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, dia didakwa telah melakukan khianat dengan cara merempuh pintu pagar Istana Iskandariah dan menyebabkan kerugian RM500 pada pukul 7.40 pagi pada hari yang sama.

Bagi kesalahan kedua itu, Muhammad Lokman dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh mahkamah mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan ketiga dan keempat pula, tertuduh didakwa masing-masing melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki dalam kawasan istana yang digunakan sebagai tempat kediaman dan simpan harta benda selain memiliki sepucuk pistol tiruan tanpa suatu lesen senjata atau permit senjata di Istana Iskandariah, di sini antara pukul 7.40 hingga 8.15 pagi, hari yang sama.

Bagi kesalahan melakukan pencerobohan jenayah memasuki kawasan istana, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan manakala hukuman penjara enam bulan bagi kesalahan memiliki sepucuk pistol tiruan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960.

Mahkamah memerintahkan Muhammad Lokman menjalani keempat-empat hukuman penjara secara berasingan, bermula dari tarikh tangkap pada 25 Mei.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen di sini, tertuduh turut didakwa memiliki sebilah pisau tanpa kebenaran yang sah pada pukul 8.05 pagi di anjung istana berkenaan, pada 25 Mei lepas.

Muhammad Lokman didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Hakim Rohaida Ishak memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan selama 30 hari di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan mulai 2 Julai.

Mahkamah memerintahkan demikian selepas tertuduh menyampuk ketika Hakim Rohaida menyoal tentang kehadiran isteri tertuduh kepada Timbalan Pendakwa Raya Hasyutanti Khalil dengan menyatakan ‘isteri sibuk menangkap dajal menggunakan iphone’.

Pendakwaan kes dikendalikan Hasyutanti manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Siti Hajar Hamzah.

BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )