Kalau PKR tidak setuju, Shafie sukar jadi PM, kata Nizar

Kalau PKR tidak setuju, Shafie sukar jadi PM, kata Nizar

Cadangan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Md Shafie Apdal dipilih sebagai calon Perdana Menteri bagi blok pembangkang sukar hendak direalisasikan sekiranya tidak mendapat persetujuan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, beliau berpandangan Mohd Shafie turut berkemungkinan tidak mendapat sokongan mencukupi daripada majoriti ahli Parlimen bagi menjadi Perdana Menteri sekiranya ahli Parlimen daripada PKR tidak menyokong beliau.

Menurutnya, di sebalik usaha mengambil alih semula mandat rakyat adalah satu kewajipan yang harus dilaksanakan pihak pembangkang dengan apa jua cara, inisiatif itu wajib disertakan dengan usaha sama PKR.

“Secara peribadi, saya mengakui keutamaan pembangkang untuk mengembalikan semua mandat rakyat daripada kerajaan rampasan kuasa dan tebuk atap pada ketika ini adalah satu kewajipan.

“Apa sahaja kaedah untuk melantik Perdana Menteri dalam kalangan pembangkang bagi menghilangkan majoriti (Perdana Menteri Tan Sri) Muhyiddin, pada dasarnya kita bersetuju termasuklah cadangan pelan ketiga mencalonkan Shafie Apdal.

“Bagaimanapun, kalau PKR tidak bersetuju, tidak boleh juga Shafie Apdal jadi Perdana Menteri kerana beliau tidak cukup sokongan. Pandangan peribadi saya adalah sebarang usaha pihak pembangkang wajib kena ada usaha sama dengan PKR,” katanya, lapor Sinar Harian.

Mohammad Nizar berkata demikian sewaktu mengulas pendedahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa beliau bersama penyokongnya bersetuju memilih Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah sebagai calon Perdana Menteri baharu bagi blok pembangkang.

Menerusi kenyataan dalam satu klip rakaman video yang tular sejak tengah hari tadi, Dr Mahathir turut mendakwa nama Mohd Shafie turut disokong DAP dan Amanah dalam satu pertemuan dengan kepimpinan Warisan sebelum ini.

Mengenai dakwaan nama Mohd Shafie dipilih sebagai calon Perdana Menteri turut mendapat sokongan Amanah dan DAP, Mohammad Nizar menegaskan hanya kepimpinan tertinggi parti yang boleh menjawab kesahihan perkara itu.

Menurutnya, Dr Mahathir sepatutnya memberikan penjelasan bila pertemuan diadakan di antara pihaknya dengan Amanah serta DAP kerana kenyataan beliau di dalam klip video tular itu seolah-olah ‘tergantung’.

“Mengenai dakwaan Tun (Dr) Mahathir, saya fikir lebih baik anda minta pengesahan daripada Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung parti,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (4)
  • comment-avatar

    Like!! Great article post.Really thank you! Really Cool.

  • comment-avatar

    I like the valuable information you provide in your articles.

  • comment-avatar
  • comment-avatar

    These are actually great ideas in concerning blogging.

  • Disqus ( )