Mana polisi BMF? Dulu beria laung-laungkan

Mana polisi BMF? Dulu beria laung-laungkan

1. Kempen “Buy Muslim First” (BMF) walaupun bertujuan baik untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu dan mempromosikan produk berkonsepkan Islam, namun ianya telah dipolitikkan PAS sebelum, kini nampaknya sudah hilang bisanya hanya dalam tempoh tidak sampai setahun. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai PAS seharusnya sudah mampu membentangkan BMF sebagai dasar ekonomi negara, tetapi sekarang ia dilihat tidak lagi diendahkan oleh PN dan PAS. Malah, dalam ucapan Perdana Menteri pada 5 Jun 2020, nampaknya kempen BMF sudah diketepikan dan digantikan dengan kempen “Buy Malaysia” yang serupa dengan kempen “Beli Barangan Buatan Malaysia” yang digerakkan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha mengembangkan ekonomi negara dan meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia.

2. Jika dahulu PAS menyifatkan kempen BMF ini adalah untuk mengukuhkan ekonomi Melayu-Islam di Malaysia, mengapakah tidak diteruskan agenda BMF dalam ketiga-tiga pakej rangsangan ekonomi (PRE) yang telah diumumkan di bawah PN. Daripada RM275bil nilai PRE yang diumumkan bawah PN, tidak dibentangkan nilai yang telah diperuntukkan untuk kempen BMF bagi mengukuhkan daya saing perniagaan Muslim-Bumiputera. Apakah PAS dan PN hanya memanipulasi sentimen Melayu-Islam untuk kepentingan politik (political mileage), tetapi mengabaikannya setelah menjadi kerajaan.

3. Jika diteliti ketiga-tiga PRE yang diumumkan oleh PN, tidak ada sebarang peruntukan atau geran khusus untuk membantu industri halal Malaysia mengukuhkan operasi yang terjejas akibat wabak Covid-19. Bukan itu sahaja, kempen “Buy Malaysia” juga tidak mempunyai inisiatif khas untuk perniagaan Melayu-Islam. Misalnya, jika PAS dan PN benar-benar prihatin dengan kempen BMF, sepatutnya dilaksanakan langkah-langkah seperti penandaan produk BMF, mengarahkan pasar raya menyediakan sebahagian peratusan “shelf space” untuk barangan BMF dan mewajibkan produk BMF dipromosi di platform e-dagang.

4. Jelas, slogan kerajaan Melayu-Islam PN hanyalah polemik politik semata-mata bagi mengaburi mata rakyat dalam usaha menghalalkan tindakan politik mereka sebelum ini termasuk menjatuhkan kerajaan PH melalui Langkah Sheraton. Cara berpolitik sebegini yang tidak berpegang kepada politik nilai tidak akan menguntungkan orang Melayu secara khusus dan negara Malaysia secara am.

5. Kerajaan PH sebelum ini memberikan penekanan kepada perkembangan industri produk halal yang cukup penting untuk sosio-ekonomi orang Melayu-Islam. Menerusi kempen “Buy Malaysian Product First”, fokus kepada produk halal telah diintegrasikan. Mantan Menteri Hal Ehwal Islam, YB Dato’ Dr Mujahid Rawa, sebelum ini pernah menyatakan tentang keperluan menjadikan halal sebagai penanda aras (benchmark) sesuatu produk.

6. Semasa pentadbiran kerajaan PH, satu program strategik “be-Halal” diwujudkan bagi memacu perkembangan industri halal Malaysia di mana perniagaan halal tempatan dilatih oleh pakar dan dibangunkan untuk berdaya saing di luar negara. PH turut memberi tumpuan dalam meningkatkan penyertaan Bumiputera Islam dalam pensijilan halal di Malaysia, yang ketika ini 60% pemegang sijil halal adalah syarikat korporat antarabangsa (MNC) dan peniaga bukan Islam.

7. Walaupun telah berlalu 100 hari berada di kerusi empuk kerajaan, namun masih tiada dasar atau pelan yang telah diperkenalkan oleh PAS dan PN untuk meningkatkan sosio-ekonomi orang Melayu. Dengan keadaan pasaran buruh yang semakin membimbangkan di mana lebih 2 juta rakyat Malaysia dijangka hilang pekerjaan akibat kesan Covid-19 dan setakat suku pertama tahun ini (Q1 2020), kehilangan pekerjaan meningkat 42%, apakah solusi yang mahu dicadangkan kerajaan PN dan PAS bagi menyelamatkan orang Melayu yang turut terjejas teruk?

8. Berdasarkan data Jabatan Perangkaan, pada tahun 2016, hampir 39% isi rumah Bumiputera berpendapatan RM4,000 ke bawah dan golongan ini yang tergolong dalam kelompok B40, lebih terdedah kepada kehilangan pekerjaan khususnya mereka yang berkemahiran rendah. Dalam sektor perniagaan pula, impak wabak Covid-19 telah melemahkan perniagaan ramai orang Melayu. Kajian Dewan Perniagaan Melayu Malaysia menunjukkan 52% responden usahawan Melayu hanya mampu bertahan dalam tempoh sebulan walaupun dengan adanya bantuan Skim Bantuan Upah yang diperkenalkan bawah PRE.

9. Justeru, persoalan yang timbul di kalangan rakyat adalah di manakah cadangan PAS dan PN untuk membela kelompok ini dan juga rakyat Malaysia yang lain? Sejauh manakah inisiatif yang telah diperkenalkan bawah PRE ini benar-benar berkesan? Sedangkan laporan berita mengenai pemberhentian pekerja di syarikat-syarikat tempatan, termasuk yang bersaiz besar, semakin meningkat. Ini secara tidak langsung menunjukkan inisiatif PRE kerajaan PN yang turut dianggotai oleh PAS, tidak memberikan impak positif seperti yang telah dijanjikan. PAS dan PN harus tampil memberikan jawapan. Jangan terus berdiam diri berselindung di sebalik kelubung kuasa pemerintah.

FAIZ FADZIL

ADUN Permatang Pasir
AJK AMANAH Nasional

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (4)
  • comment-avatar

    Like!! I blog frequently and I really thank you for your content. The article has truly peaked my interest.

  • comment-avatar
  • comment-avatar

    I always spent my half an hour to read this web site’s articles or reviews daily along with a mug of coffee.

  • comment-avatar

    These are actually great ideas in concerning blogging.

  • Disqus ( )