Hutang 1MDB hikayat derita rakyat dulu, kini dan selamanya

Hutang 1MDB hikayat derita rakyat dulu, kini dan selamanya

Seminggu dua ini, saya lihat penyokong-penyokong Umno umumnya cuba memperkecilkan bebanan yang dihasilkan dari pelaburan kerajaan BN di dalam 1MDB. Strategi ini dibuat supaya rakyat tidak lagi nampak betapa besarnya impak kewangan yang ditinggalkan oleh 1MDB kepada negara.

Saya tekankan bahawa kegagalan untuk melakukan dan menyusun strategi kewangan yang jitu untuk menangani masalah ini akan membawa kepada impak negatif yang serius kepada negara. Kerajaan PN seperti tidak ada jalan keluar dan mati akal bagaimana untuk membayar balik hutang-hutang 1MDB ini yang sebenarnya sudah mencecah hampir RM50 billion dan mungkin boleh mencapai hingga lebih RM70 billion akan datang. Siapa tahu?

Untuk gambaran terperinci, hutang 1MDB terbahagi kepada 4 kluster besar di mana syarikat pelaburan ini telah meminjam dalam bentuk 3 bon pada tahun 2009 berjumlah USD1 bilion, tahun 2012 berjumlah USD3.5 bilion dan tahun 2013 berjumlah USD3 bilion. Keseluruhan bon yang akan matang pada tahun 2022, 2023 dan 2039 adalah berjumlah USD7.5 bilion bersamaan dengan RM32.25 bilion (mengambil kira tukaran wang 1USD: 4.3 RM) buat masa ini.

Perlu diingat bahawa kesemua bon ini mempunyai kadar kupon yang tinggi dari bon kerajaan yang biasa. Kadar kupon untuk ketiga-tiga bon adalah dalam lingkungan 4.44% sehingga 5.99%. Secara kasarnya, negara perlu membiayai sejumlah RM10.7 bilion untuk pembayaran kupon bon-bon tersebut. Jumlah pembayaran bon dan kupon sahaja sebenarnya sudah mencecah RM42.95 billion berdasarkan tukaran matawang yang sama.

Sedarlah, bahawa permasalahan ini menjadikan bebanan kewangan kita bertambah. Jumlah yang telah dan akan dibayar oleh kerajaan Malaysia bagi menyelesaikan kemelut 1MDB ini berjumlah RM47.94 billion.

Perlu diingatkan bahawa Dato’ Seri Najib pada tahun 2017 telah menandatangani persetujuan untuk membayar IPIC sebanyak USD5.8 bilion bersamaan hampir RM25 bilion untuk menyelesaikan arbitrasi antara 1MDB dan IPIC di London Court of International Arbitration. Malaysia bernasib baik kerana kerajaan PH telah mencabar persetujuan ini dan London Court of Appeal telah bersetuju agar pembayaran ini ditangguhkan dan arbitrasi ini dibicarakan di mahkamah secara terbuka.

Saya tegaskan kembali, sekiranya kerajaan PN memandang enteng dalam menangani isu ini, Malaysia akan mengalami kerugian yang melampau kerana bukan sahaja negara tidak akan mendapat balik USD3.5 billion yang 1MDB telah dibayar kepada IPIC (tiruan) seperti diakui oleh Arul Kanda, tetapi Malaysia mungkin terpaksa membayar pula USD5.8 billion kepada IPIC dan Abu Dhabi atas penipuan pihak kleptokrat sebelum ini. Ini adalah liabiliti luar jangka dan sangat membebankan rakyat yang berjumlah RM25 billion.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat telah mengumumkan bahawa ia telah memfailkan aduan pelucutan sivil dalam usaha merampas dan mendapatkan semula kira-kira AS$96 juta dalam bentuk aset yang didakwa mempunyai kaitan dengan konspirasi antarabangsa untuk mengubah wang yang diseleweng daripada dana pelaburan negara Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Amerika Syarikat berjaya memperoleh hasil rampasan lebih AS$1.8 bilion dalam bentuk aset daripada dana 1MDB yang diselewengkan, demikian diumumkan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ).

Tanpa iltizam dan kesungguhan yang tinggi untuk menyelesaikan masalah ini seperti yang dilakukan oleh kerajaan PH sebelum ini, negara mungkin akan secara keseluruhannya rugi lebih dari RM70 billion disebabkan oleh skandal 1MDB sahaja. Bukan Malaysia sahaja yang membicarakan soal ini, tetapi dari Kuwait ke Thailand dan Switzerland, rata-rata masih membicarakan skandal kewangan terbesar dunia ini. Perlukah kerajaan PN dan rakyat Malaysia melupakan skandal berprofil tinggi yang seperti ini?

AMIRUDDIN HAMZAH adalah Mantan Timbalan Menteri Kewangan Malaysia dan Ahli Parlimen Kubang Pasu

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (5)
  • comment-avatar

    Like!! Really appreciate you sharing this blog post.Really thank you! Keep writing.

  • comment-avatar
  • comment-avatar
  • comment-avatar

    I am regular visitor, how are you everybody? This article posted at this web site is in fact pleasant.

  • comment-avatar

    bookmarked!!, I like your blog!

  • Disqus ( )