Kerajaan PN lancar Kempen Beli Barangan Malaysia, mana BMF?

Kerajaan PN lancar Kempen Beli Barangan Malaysia, mana BMF?

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia Tahun 2020 (KBBM).

Ini tidak selari dengan pemimpin PN khususnya Pas ketika menjadi pembangkang yang sangat bersungguh-sungguh berkempen membeli barangan muslim (BMF).

Muhyiddin berkata, kempen beli barangan Malaysia adalah bertujuan memulih dan mengekalkan daya saing ekonomi pascapandemik COVID-19.

Beliau berkata, pengguna perlu memastikan setiap perbelanjaan adalah lebih nilai untuk wang ke atas produk termasuk produk tempatan yang berkualiti.

Berucap melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia Tahun 2020 (KBBM) dan Program Jualan Mega di pusat beli-belah Suria KLCC di sini, beliau berkata, kerajaan menerusi PENJANA memperuntukkan RM20 juta untuk memastikan kempen itu dapat memberikan impak besar kepada sektor peruncitan tempatan.

Katanya, peruntukan itu dapat menggalakkan penandaan barangan buatan tempatan di rangkaian pasar raya dan mewujudkan saluran khusus untuk produk Malaysia di platform e-dagang utama.

“Menerusi kempen ini ia mempertingkatkan lagi keupayaan syarikat tempatan dalam memperkukuhkan aliran tunai dan daya saing,” katanya.

Perdana Menteri berharap kempen itu menjadi satu titik permulaan kepada usaha bersama di antara kerajaan, industri dan juga rakyat dalam memastikan kejayaan memulihkan ekonomi pasca wabak COVID-19 dapat diteruskan dengan kejayaan merancakkan semula ekonomi negara.

Muhyiddin berkata pandemik COVID-19 merupakan detik sukar dan mencabar buat negara, yang turut menyaksikan hampir semua negara mengambil langkah ‘berkurung’ dan terpaksa menutup sektor ekonomi masing-masing, satu fenomena dikenali sebagai “The Great Lockdown”.

CATEGORIES

COMMENTS