Fitnah hakim ‘saudara’ Tun M: Polis sudah kenal pasti pemilik akaun Twitter

Fitnah hakim ‘saudara’ Tun M: Polis sudah kenal pasti pemilik akaun Twitter

Polis sudah mengenal pasti identiti pemilik akaun Twitter yang mendakwa hakim kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan Datuk Seri Najib Razak, kononnya ada pertalian persaudaraan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata individu itu akan dipanggil minggu depan bagi memberi keterangan berhubung dakwaan tersebut.

“Kita sudah mengenal pasti identiti pemilik akaun Twitter itu dan akan panggil minggu depan untuk rakam percakapan,” katanya kepada Bernama.


Beliau berkata siasatan dijalankan selepas satu laporan polis diterima di Taiping, Perak semalam dan pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kes itu mengikut Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Semalam, media melaporkan bahawa seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mohd Afzanizam Abdul Rahman membuat laporan polis di Taiping berhubung satu ciapan oleh Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia Ramesh Rao di akaun Twitter.

Pada Selasa lepas, Ramesh mendakwa Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mensabitkan Najib dengan tujuh kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram adalah cucu saudara Mahathir.

Menerusi akaun Twitter, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga anak Ahli Parlimen Langkawi itu menafikan dakwaan tersebut dan menganggap ia sebagai tidak berasas serta meminta Peguam Negara menyiasat tohmahan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, polis akan menghantar kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara berhubung siasatan terhadap warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang terbabit dengan penyiaran dokumentari terbitan Al Jazeera yang disyaki berniat memburukkan Malaysia.

Mior Faridalathrash berkata tindakan selanjutnya akan ditentukan Pejabat Peguam Negara selepas polis mengambil keterangan Md Rayhan sejak 28 Julai lepas.

“Proses keterangan daripada lelaki itu sudah selesai dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara minggu depan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Md Rayhan ditahan di Setapak, Kuala Lumpur pada 24 Julai selepas Jabatan Imigresen memohon bantuan orang awam menjejaki individu itu yang muncul dalam dokumentari Al Jazeera.

Menerusi dokumentari itu, Md Rayhan membuat kenyataan mengenai layanan pihak berkuasa Malaysia kepada pendatang tanpa izin ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Pada 25 Julai, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata lelaki itu akan diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (5)
  • comment-avatar

    Like!! I blog quite often and I genuinely thank you for your information. The article has truly peaked my interest.

  • comment-avatar
  • comment-avatar

    I learn something new and challenging on blogs I stumbleupon everyday.

  • comment-avatar

    Thanks for fantastic info I was looking for this info for my mission.

  • comment-avatar

    Thanks so much for the blog post.

  • Disqus ( )