Ikrar buang protokol, Amir tekad cakna keluh kesah rakyat

Ikrar buang protokol, Amir tekad cakna keluh kesah rakyat

Calon Bebas yang memakili parti baharu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, berikrar akan membuang segala protokol di antara dirinya dan penduduk Slim sekiranya beliau diberi peluang menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Beliau menegaskan, suara rakyat dapat dibawa semaksimum mungkin apabila tiada protokol yang terikat antara seorang wakil rakyat dengan penduduk kampung.

Peguam selama 13 tahun itu juga tekad untuk mengaplikasikan empat perkara yang diamalkannya sepanjang menjadi peguam untuk membantu penduduk di kawasan N.58 Slim.

Antaranya untuk terus mendengar keluh kesah rakyat dan memastikan tiada seorang pun yang tercicir dari mendapat maklumat yang sepatutnya mereka perolehi.

“Sekiranya saya diberikan peluang, saya akan buang segala protokol. Tidak akan terikat dengan protokol antara saya dan rakyat. Lagipun saya bukan ahli Parlimen. Ini membolehkan saya untuk membawa suara mereka semaksimum mungkin.

“Saya juga akan mendengar, mencari solusi, membuat tindakan penyelesaian dengan apa jua cara, dan akan memastikan maklumat disalurkan kembali kepada penduduk Slim.

“Kita akan usaha mengurangkan kegusaran dan keresahan mereka termasuklah membabitkan isu banjir,” katanya semasa ucapan di Bilik Gerakan Utama Pekan Trolak, selepas program ziarah veteran di Slim hari ini.

Penat hilang apabila PH turut sama berkempen

Pada masa sama, Amir juga teruja dan bersemangat dengan sokongan diberikan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang turut sama berkempen dengannya.

Beliau berkata, sokongan diberikan sepanjang kempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim adalah luar biasa.

“Saya gembira atas usaha dan semangat serta suntikan yang diberikan kepada saya.

“Sepanjang beberapa hari berkempen, saya lihat sokongan yang diberikan oleh parti-parti dalam PH kepada saya sangat luar biasa.

“Walaupun dah penat, tidur tak cukup hanya 2 hingga 3 jam sahaja. Tapi bila bangun pagi tengok jadual lengkap bersama dengan yb ini, yb itu, kuasa dan semangat nak melawan tu jadi kuat dan tak hilang,” katanya lagi.

Sumber: Malaysia Dateline

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )