Fitnah Veveonah: Zahidi salahkan Timbalan Menteri Kewangan

Fitnah Veveonah: Zahidi salahkan Timbalan Menteri Kewangan

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin berkata dia memberikan laporan yang salah mengenai Veveonah Mosibin kerana mendapat maklumat berkenaan daripada Anggota Parlimen Kudat, Abdul Rahim Bakri.

Abdul Rahim pula, kata Zahidi, memperoleh maklumat tersebut daripada pensyarah Veveonah di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Justeru, bagi menjawab pertikaian mengenai kontroversi membabitkan dirinya – ketika kementerian terbabit mempromosikan slogan “Tidak Pasti, Jangan Kongsi” – Zahidi berkata dia beranggapan maklumat berkenaan tidak perlu disemak semula kerana ia disalurkan oleh ahli parlimen yang juga timbalan menteri kewangan.

“[…] kerana sudah jadi amalan di parlimen, yang pertama, kita rujuk wakil rakyat dan apabila rujuk wakil rakyat, apa isu ditimbul wakil rakyat akan dijawab oleh menteri dan timbalan menteri.


“Maka, wakil rakyat tersebut (Abdul Rahim) dah maklum kepada kita dan dia dapat maklumat daripada pensyarah,” katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.

Zahidi yang juga ahli parlimen Padang Besar berkata dalam isu tersebut, dia tidak melihat apa perlunya Abdul Rahim – pemimpin Umno yang kini menjadi wakil rakyat Bersatu – menipu ataupun memberikan maklumat tidak benar.

“Maka kita percaya pada maklumat tersebut,” katanya.

Zahidi menjadi kecaman orang ramai selepas mendakwa Veveonah sebenarnya tidak mengambil peperiksaan semasa berita mengenainya – yang terpaksa memanjat pokok bagi mendapatkan liputan Internet – tersebar.

Kata Zahidi Veveonah melakukan hal tersebut untuk membuat kandungan bagi salurannya di YouTube.

Bagaimanapun Veveonah menafikan dakwaan Zahidi malah menunjukkan jadual peperiksaan diambilnya di UMS.

Personaliti YouTube itu terpaksa mengambil peperiksaan secara dalam talian kerana negara melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) ekoran ancaman wabak Covid-19.

Zahidi kemudian mengakui dia memberikan maklumat salah semasa memberikan penjelasan isu berkenaan di Dewan Negara dan memohon maaf.

Berita penuh: https://m.malaysiakini.com/news/541597

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )