Azeez didakwa terima Vellfire, selain kes 14 juta wang hasil aktiviti haram

Azeez didakwa terima Vellfire, selain kes 14 juta wang hasil aktiviti haram

Perbicaraan kes membabitkan Abdul Azeez Abdul Rahim hari ini menyaksikan bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) itu berdepan satu lagi pertuduhan tambahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Aktiviti Keganasan (Amla) 2001.

Dia sebelum ini berdepan sembilan pertuduhan di bawah Amla 2001 kerana didakwa menerima hasil haram daripada Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi semalam, pihak pendakwaan membuat satu lagi tambahan pertuduhan.

Ia membabitkan pertuduhan ke atas Ahli Parlimen Baling itu menerima sebuah kereta berjenama Toyota Vellfire bernilai lebih RM400,000 daripada syarikat berkenaan.

Terdahulu pihak pendakwaan memohon untuk melakukan pindaan sembilan pertuduhan terhadap Abdul Azeez.

Permohonan pindaan itu tidak mendapat bantahan daripada pihak peguam bela.

Abdul Azeez bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan ke atasnya dan memohon agar dibicarakan.

Berdasarkan 10 pertuduhan itu, Abdul Azeez didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram hampir RM14 juta.

Pada 16 Jan tahun lalu, Abdul Azeez didakwa atas tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta daripada Pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek-projek pembinaan jalan raya di Perak dan Kedah antara 8 Disember 2010 dan 10 April 2018.

Beliau juga didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana lebih tinggi.

Abdul Azeez juga didakwa atas sembilan tuduhan melakukan pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah hampir RM140 juta daripada empat syarikat di sekitar Lembah Klang antara 2010 dan 2018.

Kesemua tuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Amla yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda.

Pihak pendakwaan diketuai timbalan pendakwa raya Aslinda Ahad, manakala Hisyam Teh Poh Teik bertindak sebagai peguam bela Abdul Azeez.

Sumber: Malaysiakini

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )