Pegang porfolio tanah, Peja mesti beri penjelasan!

Pegang porfolio tanah, Peja mesti beri penjelasan!

Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak memandang serius penularan dokumen dan dakwaan melibatkan Kerajaan Negeri Perak berkaitan isu pemberian tanah secara terpilih dan tidak melalui proses yang sepatutnya kepada pihak tertentu yang dipercayai mempunyai kepentingan politik.

Terkini, satu laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan skandal tanah ini melibatkan 1200 hektar di seluruh negeri Perak.

Sehubungan itu, Pengarah Komunikasi AMANAH Perak, Azhar Rahman berkata, pihaknya menyambut baik komitmen pihak SPRM untuk menyiasat kes ini dan akan mengikuti rapat perkembangan siasatan.

Tegasnya, nama individu dan syarikat yang terlibat seperti mana yang terkandung dalam dokumen yang tular harus disiasat segera kerana kedudukan mereka yang dikatakan mempunyai akses kepada maklumat dan hal ehwal tanah kerajaan.

“Selain itu, Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu juga harus bertanggungjawab untuk memberi penjelasan terhadap dakwaan ini memandangkan beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tanah dan Sumber Asli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.

“Justeru AMANAH Perak mengalu-alukan maklum balas SPRM untuk menyiasat kes ini. Kami juga berharap SPRM dapat menyegerakan siasatan dan dibuat secara telus,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, sekiranya kes ini mempunyai bukti yang kukuh, mereka yang telibat wajar diheret ke muka pengadilan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )