Kongsi berita fitnah, Razman terpaksa hadap saman Guan Eng

Kongsi berita fitnah, Razman terpaksa hadap saman Guan Eng

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Tinggi semalam bahawa beberapa hantaran yang dimuat naik dan dikongsikan oleh Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria menerusi akaun Facebooknya menunjukkan Lim seorang yang tidak menghormati agama Islam.

Lim ketika memberikan keterangan dalam kes saman yang difailkannya terhadap Razman berhubung satu pautan imej palsu di Facebook itu berkata hantaran yang dimuat naik Razman adalah satu fitnah, menyinggung perasaan serta suatu perkara yang mengelirukan dan tidak benar.

“Pernyataan fitnah yang dibuat itu menjejaskan kedudukan dan reputasi saya, bukan sahaja dari sudut saya sebagai individu, tetapi juga saya sebagai ketua menteri Pulau Pinang pada ketika itu, bahawa saya menyokong dasar pekerja hotel Muslim dilarang memakai tudung ketika bekerja,” katanya ketika membaca pernyataan saksinya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Amarjeet Singh.

Lim berkata beliau juga tidak pernah membuat sebarang kenyataan selaku ketua menteri Pulau Pinang yang menyokong dasar pekerja hotel wanita beragama Islam dilarang memakai tudung semasa bekerja di kaunter penerimaan tetamu.

Bekas Menteri Kewangan itu juga berkata defendan sebagai seorang ahli politik berpengalaman yang memegang jawatan tinggi dalam partinya, seharusnya tahu akan akibat buruk yang mungkin timbul daripada pernyataan fitnah tersebut.

Pada 22 Jan 2018, Lim memfailkan saman terhadap Razman, mendakwa pemimpin PAS itu telah memuat naik suatu imej palsu di laman Facebook dengan memuat naik pernyataan dan paparan yang berunsur fitnah, palsu dan berniat jahat terhadap Lim bertarikh 18 Nov 2017.

Paparan kata dalam akaun Facebook Razman itu dibaca: “Doa moga ini tidak betul.Kalau ia benar pertimbangkanlah jika anda sudah terlajak bersama PAN (Parti Amanah Negara), “Larangan bertudung itu hak pengusaha hotel, Pulau Pinang sokong sepenuhnya” “Guan Eng” dan “Pulau Pinang sokong larangan bertudung”.

Dalam pernyataan tuntutannya, Lim mendakwa paparan dalam laman Facebook itu merujuk kepada dirinya dan paparan di akaun Facebook milik defendan tersebut adalah menerusi sumber yang tidak sahih dan bertujuan merosakkan reputasi dan mencemarkan namanya serta melambangkan plaintif seorang pemimpin yang langsung tidak menghormati kehendak agama Islam dan budaya orang Melayu.

Lim memohon ganti rugi am, teruk dan melampau, faedah, kos serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah selain memohon satu perintah untuk menghalang defendan mengeluarkan, menyiarkan dan menerbitkan  paparan  dalam laman tersebut.

Mahkamah menetapkan 5 Nov ini untuk pihak-pihak memfailkan hujahan lisan.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )