Semakin ramai pemimpin Pas luah perasaan, mengaku jadi tongkat PN/BN

Semakin ramai pemimpin Pas luah perasaan, mengaku jadi tongkat PN/BN

“Bila sakit cari tongkat, bila dah sihat buang tongkat,” kata pemimpin Pas apabila parti itu tidak dilayan sewajarnya dalam pilihan raya negeri Sabah.

Bendahari Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad memberikan ingatan kepada rakan-rakannya, ”Tapi tongkat bukan sebarang tongkat. Macam tongkat Nabi Musa A.S. boleh jadi ular bila dicampak. Boleh patuk balik. Hati-hati.”

Beliau memberi gambaran dan seolah mengakui Pas berperanan sebagai tongkat sama ada kepada BN mahupun PN.

Beliau juga memberikan ingatan kepada rakan-rakannya, “Kawan yang sebenar tidak akan makan sorang. Apa jenis kawan kalau tulang pun dia nak sapu?”

Semua komen-komen ini dibuat bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor itu selepas Pas tidak dihiraukan oleh dua rakannya iaitu Umno dan Bersatu dalam pilihan raya negeri Sabah.

Turut memberikan komen negatif adalah AJK Pas Pusat, Dr Riduan Mohd Nor.

Katanya, “Orang berbudi kita berbahasa, Orang tak bagi kita berlaga!”.

Selain permohonan Pas untuk bertanding 10 kerusi dalam PRN Sabah tidak dilayan, Pas juga tidak dijemput dalam majlis pengumuman calon yang dibuat oleh Barisan Nasional (BN) dan juga Perikatan Nasional (PN).

Selain Iskandar, turut memberikan komen sedih terhadap apa yang berlaku di Sabah adalah Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari.

Dalam catatan di facebooknya, Ahli Parlimen Pasir Mas itu menulis “Orang berbudi kita berbahasa, orang tidak berbudi, tak payahlah kita berbahasa.”

Kini nasib Pas dalam PRN Sabah berada di tangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pesuruhjaya Pas Sabah, Mohd Aminuddin Aling berkata, terserah kepada Muhyidin sekarang apa yang Pas perlu buat di Sabah.

“Kalau dia kata bertanding sekian-sekian kerusi… 10 kerusi, maka Pas (akan) bertanding 10 kerusi,” kata Aminuddin lagi.

Sumber: Malaysia Dateline

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (1)
Disqus (0 )