Peja kata keputusan PRN Sabah isyarat sokongan rakyat kepada Muhyiddin

Peja kata keputusan PRN Sabah isyarat sokongan rakyat kepada Muhyiddin

Timbalan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berpihak kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah isyarat rakyat Sabah menyokong kerajaan sedia ada.

Katanya, kejayaan tersebut secara tidak langsung merupakan suara rakyat di mana mereka memberi sokongan serta menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Keputusan PRN Sabah secara tidak langsung adalah satu referendum sokongan dan keyakinan rakyat terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Haji Yassin untuk terus menerajui negara di sebalik pelbagai percubaan pihak pembangkang menggugat kestabilan kepemimpinan kerajaan Persekutuan.

“la sekaligus memberi isyarat yang amat jelas bahawa rakyat Sabah menyokong segala usaha kerajaan Persekutuan dalam membela kebajikan rakyat dan usaha menjana semula ekonomi negara yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujar beliau, kejayaan tersebut membuktikan kerjasama dan penyatuan yang begitu utuh di kalangan rakan-rakan dalam GRS biarpun ia ditubuhkan dalam tempoh yang begitu singkat.

“Bersatu mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pengundi di Sabah yang telah memberi kepercayaan kepada Perikatan Nasional (PN) bersama rakan-rakan GRS untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu pada PRN Sabah.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua jentera dari parti-parti komponen GRS yang telah bekerja dengan begitu komited dari awal sehingga akhir tempoh berkempen,” katanya.

Beliau turut berharap setelah selesainya PRN Sabah ini, ia akan menamatkan kemelut politik di negeri berkenaan.

“Kerajaan negeri GRS yang akan dibentuk perlu diberikan ruang untuk memberi sepenuh perhatian kepada usaha membela nasib rakyat dalam keadaan kita masih berperang melawan penularan pandemik Covid-19.

“Komitmen Muhyiddin yang juga presiden Bersatu untuk membantu kerajaan negeri Sabah menunaikan semua akujanji kempen PRN Sabah adalah hadiah yang paling bernilai buat rakyat Sabah di atas kepercayaan yang diberikan kepada wakil-wakil rakyat GRS,” katanya.

Sumber: Perak Today

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )