Suara Zahid tak laku, Hajiji dipilih jadi KM Sabah

Suara Zahid tak laku, Hajiji dipilih jadi KM Sabah

Kebuntuan antara BN dan Perikatan Nasional (PN) Sabah selesai apabila Pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Mohd Noor dipilih untuk menjadi ketua menteri baru Sabah.

Gabungan Rakyat Sabah – merangkumi BN, PN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) – mencapai konsensus itu hari ini, dua hari selepas menang dalam pilihan raya negeri.

Perkara itu diumumkan Hajiji sendiri dalam satu sidang media bersama Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin di sebuah hotel di Kota Kinabalu, yang menjadi bilik gerakan PN ketika PRN.

“Kami telah setuju sebulat suara untuk menamakan saya sebagai ketua menteri Sabah,” kata Hajiji.

Katanya lagi, GRS telah setuju untuk menubuhkan kerajaan baru atas mandat yang diberikan.

“Kami akan tunaikan tanggungjawab kami kepada rakyat untuk memastikan Sabah terus maju…Terutama menunaikan tanggungjawab mengikut manifesto kami,” katanya lagi.

Terdahulu, PN dan BN dikatakan tidak mencapai kata sepakat sama ada untuk memilih Hajiji atau Bung bagi memegang jawatan itu.

Malah selepas mesyuarat GRS semalam, kedua-duanya ke Istana Negeri bagi meminta Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin untuk membuat keputusan dalam perkara itu.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pula mengulang pendiriannya bahawa Umno patut diberi jawatan itu setelah berkompromi dengan Bersatu bagi jawatan perdana menteri dan menteri besar Perak.

Dalam sidang media hari ini, Bung berkata kata sepakat dicapai dengan keyakinan kerajaan yang bakal ditubuhkan akan dapat memulihkan semangat Sabah yang hilang, yang menurutnya disebabkan pentadbiran sebelum ini yang tidak prihatin.

“Dengan Hajiji menjadi ketua menteri, kita akan mulakan langkah untuk memastikan rakyat dapat perhatian daripada kerajaan,” katanya.

Dalam PRN yang berakhir 26 September lalu, GRS berjaya mendapat 38 daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan. Ia juga mendapat sokongan tiga Adun bebas.

Justeru mereka kini mempunyai kelebihan sembilan kerusi DUN berbanding Warisan Plus yang meraih 32 kerusi.

Sumber: Malaysiakini

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )