Pengorbanan Umno di Sabah kecewakan akar umbi, kata Pemuda Umno

Pengorbanan Umno di Sabah kecewakan akar umbi, kata Pemuda Umno

Ketua Pemuda Umno Perak, Mohd Arrif Bin Abdul Majid  mendedahkan bahawa pengorbanan Umno di Sabah sudah tentu mengecewakan akar umbi Umno.

Menurutnya, pengorbanan tersebut dilihat seolah-olah Umno terlalu mudah mengalah sama seperti isu pemilihan Menteri Besar Perak yang menyaksikan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berjaya mendapat jawatan tersebut.

Berikut adalah kenyataan penuh Mohd Arrif Bin Abdul Majid:

Kemelut politik di Sabah akhirnya terjawab dengan kekalahan Parti Warisan kepada Gabungan Rakyat Sabah dalam PRN Sabah pada 26 September 2020. Kemenangan GRS dengan jumlah 38 kerusi ini adalah hasil kerjasama daripada Gabungan Parti antara Barisan Nasional, PPBM, PBS dan STAR.

Sudah tentu kemenangan ini adalah satu isyarat penting daripada rakyat yang mahukan Bumi Sabah ini terus berkembang maju dan kebajikan serta kesejahteraan rakyat menjadi prioriti yang utama.

Bagi PRN Sabah kali ini, UMNO dan Barisan Nasional berlapang dada memberikan laluan kepada PPBM bertanding di kawasan kubu kuat UMNO atas dasar kerjasama demi memastikan kemenangan dalam PRN Sabah kali ini. Walaupun ia menimbulkan rasa kurang selesa akar umbi UMNO, akan tetapi keputusan ini terpaksa diambil demi masa depan Negeri Sabah dan misi yang lebih besar.

Namun begitu, timbul rasa kekecewaan apabila setelah mengecapi kemenangan pada PRN kali ini UMNO kembali dipaksa berkorban dalam pemilihan Ketua Menteri walaupun UMNO merupakan parti tunggal yang memenangi lebih banyak kerusi berbanding komponen lain di dalam GRS.

Walaupun hakikat ini berat untuk diterima dan ditelan, UMNO tetap berlapang dada demi memastikan kestabilan politik di Negeri Sabah. Pengorbanan ini sudah tentu mengecewakan akar umbi UMNO yang melihat UMNO seolah-olah terlalu mudah mengalah selepas isu pemilihan Menteri Besar di Perak.

Namun pada hakikatnya, insan yang pasti lebih kecewa adalah Presiden Parti yang bertungkus lumus mengerahkan semua jentera berkempen sehabis baik walaupun banyak cabaran yang dihadapi sepanjang proses kempen.

Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak mendoakan agar pengorbanan UMNO kali ini jangan disia-siakan. Ketua Menteri Sabah yang baru perlu memastikan agar semua janji kepada rakyat ditunaikan dan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

Semoga UMNO terus kekal utuh di hati dan jiwa rakyat seluruh negara. Hanya kepada Allah kita berserah.

 

Mohd Arrif Bin Abdul Majid
Ketua Pergerakan Pemuda Negeri Perak

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )