Bersatu sedang dibina untuk ganti Umno?

Bersatu sedang dibina untuk ganti Umno?

Antara parti yang menyebabkan UMNO kalah dalam PRU14 lalu adalah Bersatu.

Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu dan Tun Mahathir Mohamad, Pengerusi Bersatu telah membawa parti itu bergabung dengan PH bagi tujuan menumbangkan UMNO dan BN.

Setelah UMNO hilang kuasa, parti itu diajak kembali bersama dengan Bersatu untuk membentuk kerajaan baru, Perikatan Nasional setelah PH dijatuhkan sendiri oleh Tun Mahathir yang tujuan sebenarnya ialah kerana tidak mahu melakukan peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim.

Dalam kerajaan PN sekarang, walaupun UMNO tidak menyertai gabungan itu, tetapi Bersatu tetap dengan niat dan nawaitu asal iaitu mahu menguburkan UMNO.

Kalau dulu, Bersatu menumbangkan UMNO melalui pilihanraya, kini mereka cuba melakukannya melalui kawalan permainan kuasa yang berpusat dalam tangan Muhyiddin selaku Perdana Menteri.

Bagi Bersatu, hanya dengan menguburkan UMNO saja satu-satu cara untuk memastikan masa depannya terus ada dalam politik negara ini dan mustahil, setelah menjatuhkannya, Bersatu mahu menolong UMNO hidup semula.

Meski tahu UMNO tidak menyertai PN, Muhyiddin tetap meneruskan usaha mendaftarkan gabungan itu sebagai pertubuhan yang sah.

Apa ia sudah sah, langkah pertama Bersatu ialah memujuk dan meyakinkan Pas untuk menyertai PN dan dalam masa yang sama, Bersatu juga berjaya memujuk serta meyakinkan Pas serta sebahagian pimpinan UMNO untuk menerima kemasukan Bersatu ke dalam Muafakat Nasional atau MN.

Dari segi ini, Bersatu jelas mempunyai kelebihan kerana mengetuai PN dan di masa yang sama berada pula dalam MN, manakala UMNO hanya berada dalam MN saja dan tidak dalam PN.

Dari segi percaturan politik, jika berlaku pertembungan, Bersatu bukan saja lebih untung kerana berada di dalam PN dan MN, bahkan dapat menjadikan Pas yang juga berada dalam PN dan MN, lebih memihak kepadanya.

Bukan rahsia lagi bahawa kecondongan Pas sekarang ini lebih kepada Bersatu berbanding UMNO.

Bukti pertama ialah dalam PRN Sabah baru-baru ini di mana tuntutan kerusi dan jawatan Ketua Menteri telah berjaya disapu oleh Bersatu, meskipun parti itu menang kerusi yang kurang sedikit daripada UMNO.

Sama seperti di pusat di mana Bersatu yang mengalahkan UMNO tetapi kemudian UMNO mengangkat kembali pemimpin Bersatu sebagai Perdana Menteri, di Sabah juga begitu keadaannya.

Hajiji Noor yang sekarang menjadi Ketua Menteri adalah bekas pemimpin UMNO yang meninggalkan parti itu secara berjemaah sebaik BN kalah PRU14 sehingga ketika itu hanya Bung Mokhtar saja satu-satunya pemimpin UMNO yang bergelar wakil rakyat yang masih setia kepada UMNO.

Lantaran kesetiaannya, Bung Mokhtar kemudiannya dijadikan Pengerusi UMNO dan BN Sabah, jawatan yang sebelum itu disandang oleh Hajiji.

Hari ini, selepas PRN Sabah, melalui permainan kuasa yang terkumpul di tangan Muhyiddin, beliau telah bahaya menjadikan Hajiji sebagai Ketua Menteri, mengenepikan Bung Mokhtar yang sejak awal dinamakan oleh UMNO sebagai calon Ketua Menterinya.

Di sini, selain kejayaan Muhyiddin meletakkan Hajiji sebagai Ketua Menteri yang menjadi perkiraan, yang tidak kurang pentingnya ialah UMNO berjaya dipermainman sekali lagi oleh Bersatu.

Dulu UMNO berharap dengan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, kes mahkamah beberapa pemimpinnya mungkin akan diberi pertimbangan, tetapi nampaknya jalan-jalan menuju ke penjara lebih terbuka buat mereka.

Dulu juga, sewaktu UMNO hanya bermuafakat dengan Pas, harapan UMNO untuk merebut kembali jawatan Perdana Menteri nampak begitu bercahaya, namun kini suluhannya lebih untuk mengekalkan Muhyiddin lagi.

Yang nyata PRN Sabah adalah permulaan kepada cara Bersatu menekan UMNO di mana selepas ini, dalam pembahagian kerusi peringkat Parlimen, pendekatan yang sama akan diaplikasikan.

Tekanan Bersatu kepada UMNO itu pasti akan lebih mudah jika sekiranya dalam PRU15 nanti, sama seperti Najib, Zahid Hamidi juga tidak boleh bertanding lagi kerana hukuman bersalah oleh mahkamah telah dijatuhkan terhadapnya.

Dengan Najib dan Zahid Hamidi tidak boleh lagi bertanding, pemimpin UMNO lain tiada pilihan selain berlembut dalam soal kerusi serta akur untuk terus menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Jika selepas dua penggal pemimpin UMNO tidak duduk di kerusi Perdana Menteri, parti itu akan menjadi semakin tidak relevan di mata umum dan tidak mustahil selepas itu UMNO dicadang untuk dibubar dan seterusnya bergabung dengan Bersatu.

Dalam Bersatu sekarang ini suara ke arah pembubaran UMNO itu tetap kuat kedengaran sebagai satu-satunya cara ke arah penyatuan Melayu.

Beberapa pemimpin Bersatu berkata, oleh kerana UMNO dipenuhi pemimpin yang rasuah dan kotor moralnya, orang Melayu tidak boleh lagi disatukan melalui wadah itu.

Bersatu juga mula menunjukkan keangkuhan bahawa parti itu lebih diterima berbanding UMNO berikutan keputusan PRN Sabah dan kejayaan meletakkan Hajiji sebagai Ketua Menteri, khususnya dengan dakwaan trus defisit dan sebagainya.

Melalui Bersatu dan bukan lagi dengan nama UMNO, Pas juga dikatakan lebih sedia untuk menjalin hubungan dengan gabungan dua parti itu sehingga ke hari kiamat.

Soalnya, apakah UMNO hanya mahu berdiam diri saja melihat laluan-laluan ke pusara yang sedang dibina oleh Bersatu dan Muhyiddin untuk menguburkan parti itu?

Lagi lambat untuk bertindak, lagi tertutup rapat ruang untuk menyelamatkan UMNO.

(Shahbudindotcom 30/09/2020).

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )