Pemimpin Bersatu minta BN-PN jangan gaduh secara terbuka

Pemimpin Bersatu minta BN-PN jangan gaduh secara terbuka

Semua pimpinan Perikatan Nasional (PN) mahupun Barisan Nasional (BN) digesa menghentikan perbalahan secara terbuka termasuk melalui kenyataan media dan kenyataan di media sosial.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, kerjasama gabungan PN dan BN perlu diperkukuhkan bermula sekarang bukannya pada saat-saat akhir.

“Gunakan platform dan forum yang betul seperti diskusi tertutup untuk menguruskan segala perbezaan pendapat.

“Serangan seharusnya dihala kepada pihak musuh dan bukannya sesama sendiri. Perbuatan menyerang sesama sendiri akan hanya menghilangkan keyakinan rakyat kepada kita dan menguntungkan atau menggembirakan pihak lawan.

“Secara jelas, kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana pimpinan atau individu dalam (Bersatu-PN) atau (UMNO-BN) yang mengguris hati dan perasaan masing-masing tidak melambangkan pendirian parti masing-masing secara keseluruhannya dan wajar dihentikan serta merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyifatkan perkongsian PN bersama Bersatu tidak menguntungkan serta mengakibatkan UMNO kehilangan penguasaannya.

Mohd Rafiq berkata, gabungan politik PN dan BN perlu bermaafan dan membuka lembaran baru untuk kerjasama lebih kukuh menuju PRU 15 yang bakal tiba pada bila-bila masa.

Katanya, usaha harus digerakkan dari peringkat pimpinan tertinggi parti sehinggalah ke peringkat bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan.

“Keputusan PRN Sabah memperlihatkan setiap parti di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai kekuatan dan peranan tersendiri. Tanpa penglibatan dan sumbangan salah satu parti (PN, BN atau Parti Bersatu Sabah (PBS)), tidak mungkin kerajaan baru dapat dibentuk di Sabah.

“Sabah telah membuktikan formula kerjasama PN + BN + PBS berjaya menumbangkan Warisan + Pakatan Harapan + Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

“Sekiranya semua pihak ikhlas, bersatu hati untuk menjayakan usaha ini, berbekalkan sokongan tinggi rakyat Malaysia kepada Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini, Insya-Allah saya yakin dan percaya gagasan PN+BN akan berjaya menewaskan Pakatan Harapan+Warisan dengan cemerlang pada PRU15 nanti, Insya-Allah,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )