Tak perlu batal program orang ramai di Perak, tegas Peja

Tak perlu batal program orang ramai di Perak, tegas Peja

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, meminta orang ramai jangan panik atau marah ahli politik berikutan peningkatan kes Covid-19 yang begitu ketara kebelakangan ini.

Beliau mengingatkan orang ramai bahawa virus korona tidak memilih mangsa.

“Sama ada dia Presiden Amerika Syarikat atau orang biasa…juga bukan dari segolongan orang itu dan orang ini, sesiapa sahaja boleh terkena jangkitan,” katanya.

Dalam pada itu, Faizal berkata setakat ini tidak ada keperluan membatalkan program membabitkan penyertaan orang dalam jumlah yang ramai di Perak, sebagaimana yang dilaksanakan di negeri yang mempunyai zon merah.

Ini kerana peningkatan kes itu berlaku di kawasan tertentu seperti di penjara, dan bukan merebak melalui program perhimpunan dan kenduri.

“Ini bermakna ianya tertular melalui satu kawasan yang tertutup dan kita faham bahawa jika rakyat meneruskan SOP dengan menjaga penjarakan sosial, mencuci tangan, dan jaga kebersihan, wabak ini boleh kita kawal,” katanya.

Perak terus kekal menggunakan SOP perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang ditetapkan kerajaan pusat buat masa ini, tambahnya.

Sumber : Free Malaysia Today

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )