Razman Zakaria gesa henti ganggu kerajaan

Razman Zakaria gesa henti ganggu kerajaan

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria menggesa semua pihak menghentikan segala perbuatan yang mengganggu-gugat kestabilan dan kelancaran tadbir urus kerajaan sedia ada susulan titah terbaharu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Katanya, seluruh rakyat perlu bersatu hati tanpa mengira latar belakang terutama fahaman politik dengan mengetepikan segala perbezaan dan perbalahan sebagai menjunjung titah Seri Paduka Baginda.

Menurutnya, peringatan itu bukanlah kali pertama disuarakan Seri Paduka Baginda, sebaliknya sudah empat kali ditegaskan supaya seluruh rakyat bersama-sama kerajaan dan pihak berkuasa menghadapi ancaman utama wabak koronavirus (Covid-19).

“Tidak perlu lagi ada hembusan-hembusan ketidakpuasan hati peribadi atau kelompok yang menjadi hasutan kurang menyenangkan atau menyebabkan kita bercerai-berai.

“Sebaliknya mari eratkan solidariti supaya dapat menghadapi cabaran Covid-19 ini dengan selamat, seterusnya memacu ekonomi dan pembangunan negara serta masa depan ke mercu lebih berjaya dan maju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, seluruh warga Malaysia perlu membuktikan perkara yang terkandung dalam Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

Sementara itu, Razman berkata, keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk tidak mengisytiharkan darurat sudah tentu diperhalusi secara menyeluruh selepas mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara hari ini.

Menurutnya, paling utama Raja-Raja Melayu memperakui keupayaan kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung Covid-19 daripada terus merebak.

Sumber: Sinar Harian

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )