Saarani sangka baik, taknak cari kesalahan zaman Peja

Saarani sangka baik, taknak cari kesalahan zaman Peja

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad menegaskan beliau menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada pihak berkuasa jika benar wujud salah laku dalam pentadbiran terdahulu.
Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan berkata, mahu menumpukan sepenuh perhatian untuk membangunkan negeri di samping membantu rakyat yang memerlukan.
“Saya tidak mahu memulakan tugas saya dengan melukakan hati sesiapa.
“Saya bersangka baik dan jika terdapat apa-apa kesalahan atau salah laku yang dilakukan oleh sesiapapun termasuk saya, kita serahkan kepada pihak yang berwajib… SPRM..
“Sebab saya ingin menumpukan perhatian kepada membangunkan negeri, jika dicampur aduk dengan benda lain saya tidak boleh bagi fokus… tidak terfikir pun benda tu,”katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan jika ada kemungkinan pihaknya bercadang menyiasat kes salah laku pentadbiran kerajaan terdahulu.
Katanya lagi, beliau sentiasa berpegang dengan nasihat dan kata-kata untuk tidak membuat keputusan bersendirian.
“Saya sentiasa ingat nasihat supaya jangan salah guna kuasa, jangan kedekut, jangan sombong dan bermusuh dengan ketua jabatan serta kakitangan kerajaan,” katanya.
Terdahulu, Saarani hadir majlis kesyukuran anjuran UMNO Lenggong di Dewan Kompleks Komuniti Desa KEMAS, di sini hari ini.
Yang turut hadir Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Sumber: https://www.astroawani.com/berita-politik/saya-tidak-mahu-melukakan-hati-sesiapa-mb-perak-272886

CATEGORIES

COMMENTS