Cari pembunuh, bukan cari punca mati! Tegas keluarga Adib

Cari pembunuh, bukan cari punca mati! Tegas keluarga Adib

Keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim hairan dengan siasatan polis masih menjurus punca kematian arwah, sedangkan Mahkamah Koroner sudah membuat keputusan mengenainya.

Ia susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, semalam bahawa siasatan polis terhadap penyebab kematian Muhammad Adib di peringkat akhir dan akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara.


Bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, berkata siasatan seharusnya menjurus untuk mencari penjenayah yang menyebabkan kematian Adib selepas dua tahun kejadian itu berlaku.

“Kenapa masih hendak siasat punca kematian Adib? Ahli keluarga sekarang cuma nak tahu siapa pelaku yang sebabkan kematian anak saya.

“Saya dan isteri sudah lama bersabar demi melihat sendiri wajah pelaku menyebabkan kematian anak kami. Namun, sampai sekarang masih hendak siasat penyebab kematian Adib?

“Bukankah keputusan inkues lalu sudah jelas mengatakan bahawa kematian Adib disebabkan perbuatan jenayah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Kassim berkata, mahkamah juga sudah mengeluarkan arahan untuk menyiasat dan mencari individu menjadi penyebab kematian Muhammad Adib.

Katanya, semua fakta, bukti dan dokumen dibawa ke Mahkamah Koroner sepatutnya dapat membantu untuk melakukan siasatan dalam mencari penjenayah terbabit.

“Saya bukan cakap kosong, tetapi berdasarkan keputusan Mahkamah Koroner. Bukan seorang saksi yang tampil beri penerangan sepanjang inkues itu, semua bukti sudah ada.

“Jadi sudah-sudah buang masa, hendak tangguh sampai bila? Kami ahli keluarga semua berpegang pada keputusan inkues itu dan kami harap kerajaan cari pelaku secepat mungkin,” katanya.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember 2018, selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Pada 27 September tahun lalu, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu tidak dikenali.

Sepanjang prosiding inkues itu juga, seramai 30 saksi termasuk saksi pakar dan Mohd Kassim turut dipanggil memberi keterangan dengan 137 bahan bukti dikemukakan.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/765299/cari-penjenayah-bukan-siasat-punca-kematian-keluarga-adib

CATEGORIES

COMMENTS