DAP sambut baik Belanjawan Perak 2021

DAP sambut baik Belanjawan Perak 2021

DAP Perak menyambut baik peruntukan sebanyak RM200,000 kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad dalam Belanjawan 2021, hari ini.

Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, ia merupakan satu sejarah baharu untuk negeri Perak dan menunjukkan kematangan politik kepimpinan kerajaan negeri demi kesejahteraan rakyat.

“Ini merupakan salah satu perubahan dalam negeri Perak di mana kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat dalam beberapa perkara iaitu, yang pertama, pemberian RM200,000 setahun kepada 59 ADUN demi memberikan khidmat yang terbaik kepada para pengundi.

“Kedua, semua ADUN termasuk pembangkang akan menjadi anggota dalam Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD) dan yang ketiga, semua ADUN dijemput menyertai Jawatankuasa Fokus dan Pengurusan Bencana Daerah buat pertama kalinya dalam sejarah.

“Ianya menunjukkan kematangan politik Pakatan Harapan (PH) bersama-sama Menteri Besar yang baharu,” katanya.

Beliau ditemui dalam sidang media khas selepas Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pejabat DAP Perak di sini, hari ini.

Kor Ming berkata, DAP juga menyambut baik cadangan kerajaan negeri untuk meminda perintah tetap DUN dengan memberikan pengiktirafan rasmi kepada ketua pembangkang menerusi pemberian gaji, elaun dan emolumen yang sesuai dengan tugas tersebut.

Tambah beliau, Kerajaan negeri juga bersetuju untuk meminda perintah tetap DUN supaya jawatan Pengerusi Jawatan Kuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) akan dilantik oleh wakil pembangkang.

Kor Ming juga berpuas hati dengan peruntukan yang diberikan kepada institusi rumah ibadat bukan Islam dan sekolah jenis kebangsaan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan Negeri 2021.

CATEGORIES

COMMENTS