Belanjawan Perak 2021 diluluskan sebulat suara semua 59 ADUN

Belanjawan Perak 2021 diluluskan sebulat suara semua 59 ADUN

Belanjawan Perak 2021 diluluskan dengan sokongan sebulat suara semua 59 ADUN selepas dibentangkan untuk undian hari ini.

Belanjawan dengan defisit sebanyak RM154 juta itu adalah tertinggi dalam sejarah belanjawan negeri dengan unjuran hasil sebanyak RM1.061 bilion berbanding perbelanjaan RM1.215 bilion.

Pembentangan belanjawan itu juga mencatatkan sejarah tersendiri selepas buat pertama kalinya semua ADUN diberikan peruntukan tahunan sebanyak RM200,000 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM11.8 juta selaras dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Menteri Besar Saarani Mohamad ketika menggulung perbahasan belanjawan berkata, ia sangat penting kerana merangkumi pelbagai langkah dan inisiatif kerajaan untuk menjana semula ekonomi dan memulihkan kesejahteraan rakyat yang sedang diuji dengan hambatan pandemik COVID-19.

“Saya percaya, ia adalah manifestasi keinginan setiap daripada kita di dewan yang mulia ini untuk melihat belanjawan tahun hadapan memberi jawapan kepada keluh-kesah rakyat serta mengembalikan pacuan ekonomi negeri ke landasannya.

“Besar harapan saya agar persefahaman ini akan menjadi titik mula kepada kematangan kita berpolitik.

“Kita boleh membuktikan bahawa wakil rakyat mampu membina batas dalam berpolitik dengan meletakkan kepentingan rakyat merentasi garis politik kepartian,” katanya.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/18/belanjawan-perak-2021-dilulus-sebulat-suara/

CATEGORIES

COMMENTS