Panas! Penguatkuasa syariah pun nak mencabul

Panas! Penguatkuasa syariah pun nak mencabul

Seorang penguat kuasa syariah dikenakan hukuman penjara 14 bulan di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencabul dan mengaibkan rakan sekerjanya.

Majistret Nordiana Abd Aziz membuat keputusan itu selepas tertuduh, Ahmad Fakkarudin Wahab, 30, mengaku salah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang berusia 40 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatan mangsa di sebuah pejabat kerajaan di daerah ini, jam 4.20 petang pada 25 November 2019.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK) berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa mengaibkan kehormatan mangsa di lokasi sama pada jam 10 pagi pada 25 November 2019.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 509 KK berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 14 bulan dan 12 bulan bagi pertuduhan pertama dan kedua.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula tarikh sabitan.

Sebelum ini, tertuduh yang dihadapkan ke mahkamah sama membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Bagaimanapun, selepas tiga saksi pendakwaan dipanggil, tertuduh menukar pengakuan daripada tidak bersalah kepada bersalah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala tertuduh diwakili peguam, Othman Bakar.

Terdahulu, Lee meminta hukuman berbentuk pencegahan kerana ia adalah gangguan seksual di tempat kerja yang selalu berlaku yang dikategorikan sebagai kesalahan jenayah.

Katanya, kejadian itu turut memberikan trauma yang cukup mendalam kepada mangsa yang menangis ketika memberi keterangan di mahkamah.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang kakitangan kerajaan di negeri ini ditahan polis selepas didakwa mencabul seorang rakan sekerjanya ketika wanita itu mahu menunaikan solat.

Lelaki itu ditahan kira-kira jam 3.40 petang pada 6 Disember 2019 di tepi jalan di hadapan stesen teksi dekat Jalan Masjid Abidin, di sini.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/655829/penguatkuasa-syariah-cabul-aib-rakan-sekerja-dipenjara?fbclid=IwAR2tZlbjbRAEx09Sg0d7DIOqeqATJli-xrjlNXyJjuHAGb5hNwbnNoPNM5Y

CATEGORIES

COMMENTS