Menteri bengang ada ‘orang dalam’ bocor maklumat

Menteri bengang ada ‘orang dalam’ bocor maklumat

Menteri Sumber Manusia M Saravanan mengesahkan maklumat mengenai serbuan pelbagai agensi di sebuah kilang sarung tangan di Klang pada hari Khamis lalu telah dibocorkan kepada pemilik kilang tersebut.

Bercakap kepada wartawan hari ini, Saravanan berkata ini menyebabkan pasukan yang membuat serbuan menemukan keadaan tempat tinggal yang buruk, walaupun tidak ada pekerja di premis kilang itu.

Katanya, pihak majikan telah menyembunyikan pekerja asing kilang itu di sebuah hotel berhampiran untuk mengelak diperiksa dan disoal pihak berkuasa.

“Walaupun mempunyai bukti kukuh kilang itu gagal menyediakan penginapan selesa dan selamat kepada pekerjanya seperti yang dikehendaki Akta 446, tindakan tidak dapat diambil kerana pekerja dilarikan pada waktu malam sehari sebelum operasi dilaksanakan akibat kebocoran maklumat,” kata Saravanan, petik portal Malaysia Gazette.

Sebelum ini, sumber mendakwa kilang itu telah mendapat tahu mengenai serbuan berkenaan daripada “orang dalam kerajaan.”

 

Pihak pengurusan kemudian didakwa memindahkan pekerja yang tinggal di asrama ke hotel berdekatan dan melakukan pembersihan pada malam hari sebelum pihak berkuasa menyerbu premis mereka.

Bagaimanapun, jurucakap syarikat itu menafikan perkara ini, berkata walaupun penginapan itu bukan “hotel lima bintang” tetapi masih “ada ruang untuk tambah baik” dan pihaknya tidak mendengar banyak rungutan daripada pekerja.

Pegawai kesihatan daerah Klang, Ili Syazwani Mohd Mashudi berkata pejabat kesihatan menemui beberapa pelanggaran SOP penjarakan sosial dan kekurangan pembersihan secara berkala.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kementerian Sumber Manusia Mohd Asri Abdul Sahab pula maklum keadaan penginapan, seperti katil tiga tingkat boleh mendatangkan bahaya kepada pekerja.

Saravanan pada hari ini memberi amaran kepada syarikat itu untuk menghentikan taktik sedemikian.

Katanya, satu aplikasi khas buat pekerja tempatan dan asing menyalurkan aduan mengenai penindasan atau eksploitasi akan diperkenalkan pada awal Januari 2021.

Maklumat yang disalurkan pekerja melalui aplikasi khas juga, kata Saravanan akan dirahsiakan.

“Selepas ini mereka tak boleh sembunyikan atau larikan pekerja mereka kerana dengan adanya aplikasi ini segala salahlaku majikan dalam kebajikan penginapan pekerja akan diterima terus dari pekerja yang terkesan, saya hanya mahu mendidik majikan,” jelasnya.

Setakat ini, kilang di Klang itu terlepas daripada penutupan dan didenda RM1,000 oleh Pejabat Kesihatan Selangor kerana gagal mematuhi langkah-langkah SOP pencegahan Covid-19.

Jumlah kes positif Covid-19 di Klang telah merekodkan lonjakan selepas penemuan kluster baru yang berkaitan dengan tempat tinggal pekerja asing, bermula dengan asrama kilang Top Glove.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/556612?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook&fbclid=IwAR1yNDm5qfGt6wv5TnU5xQ1ObG7YzDyDqTPIuGbVURIh3r2AJT3lpeov9-A

CATEGORIES

COMMENTS