Zaid dakwa ada pemimpin politik ‘super hipokrit’

Zaid dakwa ada pemimpin politik ‘super hipokrit’

Datuk Zaid Ibrahim menempelak sikap pemimpin yang terlalu ghairah mencari sekutu politik untuk menubuhkan pakatan atau gabungan bagi membentuk kerajaan.

Aktivis politik itu berkata, sikap hipokrit sesetengah pemimpin mengejar kepentingan diri secara tidak langsung tidak lagi mempedulikan kebajikan rakyat.

Katanya, sepanjang lebih dua tahun tidak terlibat dengan politik, beliau melihat taktik paling digemari pemimpin terbabit ialah menjauhkan diri dari kononnya kluster pemimpin UMNO yang korup.

“Mereka tidak mahu kepada (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dan (Datuk Seri Ahmad) Zahid Hamidi tetapi pada masa sama sanggup bekerjasama dengan pemimpin lain yang lebih korup.

“Apakah mereka puas hati bekerjasama dengan pemimpin UMNO yang tidak dituduh korup? Apakah mereka yang lompat parti itu bersih seperti anak baharu lahir?” soalnya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Zaid yang meletak jawatan Pengerusi DAP Kelantan pada April lalu berkata, keadaan politik negara ketika ini terlalu caca marba dan menyaksikan sendiri sikap hipokrit yang menebal dalam diri kebanyakan pemimpin.

Ujar beliau, sikap sedemikian menyebabkan rakyat tidak lagi memahami apa isu penting bagi mereka.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu ini juga mempersoalkan, apakah pemimpin DAP dan Pas semuanya bersih sehingga boleh bekerjasama tanpa was-was suatu ketika dahulu?

Justeru, beliau mengingatkan rakyat agar lebih teliti dalam memilih calon atau pemimpin pada masa akan datang.

Sumber: https://malaysiagazette.com/2020/12/27/zaid-ingatkan-pemimpin-politik-jangan-super-hipokrit/?fbclid=IwAR3wAuFFxtqSuwQS51-9pSB01p1X3lLqovWQObcetvSLajfVf_7fguB7w1I

CATEGORIES

COMMENTS