PH akan hilang sokongan pengundi bukan melayu jika Mahathir sertai gabungan, dakwa PKR

PH akan hilang sokongan pengundi bukan melayu jika Mahathir sertai gabungan, dakwa PKR

Seorang pemimpin PKR Perak berpendapat langkah membawa semua Dr Mahathir Mohamad menyertai Pakatan Harapan (PH) akan menyebabkan gabungan itu hilang sokongan pengundi bukan Melayu.

Adun Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad malah mendakwa keterbukaan Mahathir untuk bekerjasama dengan PH sebenarnya langkah terdesak bekas perdana menteri itu untuk menyelamatkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan anaknya Mukhriz.

“Apa yang dikata olehnya (Mahathir) tidak tepat. Dia bukan faktor PH meraih sokongan Melayu pada PRU ke-14 lalu.

“PH meraih sokongan Melayu pada PRU yang lalu kerana rakyat bosan dan marah dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa kerajaan terdahulu.

“Mahathir cuba memesongkan faktanya dan cuba mencari talian hayat untuk menyelamatkan Pejuang dan anaknya yang makin tenggelam,” katanya kepada Malaysiakini.

Ketua Penerangan PKR Perak itu berkata demikian ketika mengulas laporan media mengenai pandangan Mahathir bahawa PH tidak akan meraih sokongan Melayu pada PRU akan datang sekiranya gabungan itu enggan bekerjasama dengannya.

Menurut Mahathir penglibatannya ketika bersama PH selaku pengerusi Bersatu membantu meningkatkan sokongan orang Melayu terhadap PH pada PRU ke-14.

Arafat mendakwa hasil kerjasama dengan PH dan Anwar Ibrahim itulah yang membuka ruang untuk Bersatu memenangi beberapa kerusi dalam PRU berkenaan.

“Kalau benar Mahathir mempunyai sokongan Melayu, kenapa parti dia (Bersatu) kalah di pilihan raya kecil Semenyih dan Tanjung Piai? Mengapa calon disokong Pejuang kalah di Slim?

“Kerusi Semenyih dan Tanjung Piai memang dimenangi PH pada 2018,” katanya.

Justeru Arafat mencabar Pejuang memberi penjelasan berhubung kekalahan di tiga pilihan raya kecil berkenaan.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/557178

CATEGORIES

COMMENTS