Apakah pesan Najib tentang hala tuju petanda hubungan Umno dengan Bersatu bakal berakhir?

Apakah pesan Najib tentang hala tuju petanda hubungan Umno dengan Bersatu bakal berakhir?

Mesyuarat perwakilan UMNO bahagian-bahagian selama tiga hari pada 1-3 Januari ini dijangka akan membuat keputusan tentang hubungan parti itu dengan Bersatu.

Difahamkan, sebahagian besar daripada 191 UMNO bahagian akan meluluskan usul tidak mahu bekerjasama dengan parti serpihan pimpinan Muhyiddin Yassin itu dalam PRU15 akan datang.

Kiranya perkara itu menjadi kenyataan, sesuai dengan kedudukan UMNO tidak berada dalam PN, ia secara tidak langsung akan turut menjejaskan kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Tidak mustahil, selepas sebahagian besar bahagian-bahagian UMNO meluluskan usul tidak mahu lagi bekerjasama dengan Bersatu, ia akan disusuli dengan tindakan Ahli-Ahli Patlimen BN menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Selepas penarikan sokongan, sama ada sebuah kerajaan baru terbentuk atau PRU bakal diadakan kemudiannya, yang penting UMNO sudah tiada apa-apa hubungan lagi Bersatu.

Dengan itu, UMNO bebas bertanding di semua kerusi tradisi atau yang dimenanginya pada PRU14 lalu tanpa perlu serabut kepala memikirkan untuk berkongsi kerusi dengan sesiapa.

Akhirnya, kebarangkalian UMNO mampu menjadi dominan dan berkuasa semula jauh lebih terbuka berbanding jika mereka kena berkongsi kerusi dengan Bersatu.

Dalam kesempatan ini, bekas Presiden UMNO, Najib Razak membakar lagi semangat ahli-ahli UMNO dengan menyeru mereka agar tidak gentar menyuarakan tentang hala tuju dan demi masa depan parti dengan berslogankan “Lawan Tetap Lawan”pada mesyuarat perwakilan kali ini.

Walaupun dilihat meminjam slogan yang biasa digunakan Anwar Ibrahim sejak bertahun lalu, Najib mengajak ahli-ahli UMNO agar tidak takut dengan ujian, cabaran, rintangan serta berani melawan penindasan.

“Banyak yang telah berlaku sepanjang tahun ini sama ada dari segi kerjasama dan persefahaman politik UMNO dan Barisan Nasional yang telah termeterai sejak sekian lama, Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional ataupun pendapat mengenai hala tuju UMNO menghadapi PRU15 akan datang dan untuk jangka masa yang panjang.

“Banyak juga cakap-cakap di luar sana mengenai perkara ini. Bagi saya inilah peluang bagi akar umbi menilai perkembangan sepanjang hampir setahun yang lalu dan menentukan sendiri ke mana hala tuju UMNO.

“Setuju atau tidak? Dengan siapa? Kenapa? Bagaimana? Suarakan, bahaskan dan usulkan.

“Ada yang mahukan UMNO dihapuskan, tetapi UMNO tetap utuh dan kekal berdiri.

“Masih ingatkan kita siapa mereka itu?” tanya beliau.

Jelas bahawa melalui pesanan pembakar semangat yang diberikannya, selain berkenaan hala tuju UMNO, Najib secara terbuka menekankan tentang perlunya hubungan parti itu dengan Bersatu dinilai semula serta ditentukan pendirian yang muktamad.

“Suarakan, bahaskan dan usulkan,” demikian pesan Najib lagi.

Dengan UMNO bakal menentukan hala tujunya melalui suara akar umbi dalam mesyuarat perwakilan bahagian-bahagian ini, ia juga menunjukkan UMNO kini sedar keputusan mereka menyertai kerajaan bersama PN sebelum ini adalah suatu kesilapan dan langsung tidak memberi keuntungan.

Sebaliknya, ia dilihat seperti membuka ruang untuk Bersatu meneruskan tindakan membuli, sambil memperkuatkan dirinya dengan merampas Pas yang sebelum ini lebih dulu bersama UMNO dalam MN.

Apa pun, belum terlambat sebenarnya untuk UMNO berbuat sesuatu sebelum parti itu dilumpuhkan secara perlahan-lahan oleh Bersatu.

Akan berakhirkah hubungan UMNO dan Bersatu serta bakal berakhir jugakah kerajaan PN selepas 3 Januari nanti?

(Shahbudindotcom 01/01/2021)

Sumber: https://shahbudindotcom.net/2021/01/01/pesan-najib-tentang-hala-tuju-umno-petanda-hubungan-dengan-bersatu-bakal-berakhir.html

CATEGORIES

COMMENTS