Zahid lantik Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung BN yang baru

Zahid lantik Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung BN yang baru

[DIKEMASKINI] Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan Datuk Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional yang baharu menggantikan Tan Sri Annuar Musa.

Pelantikan itu berkuat kuasa serta merta.

Menurut portal berita tempatan, Ahmad Zahid mengumumkan keputusan tersebut dalam ucapan semasa perjumpaan khas dengan Ketua-ketua UMNO Bahagian seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.

Annuar pada Ahad dilapor berkata, beliau sanggup dipecat asalkan dapat mempertahankan ‘muafakat’ parti Melayu dan Islam dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Muafakat Nasional itu turut menegaskan akan mempertahankan keputusan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menolak DAP dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kalau nak pecat kerana itu silakan. Nak pertahan mereka yang nak bawa parti sokong DAP dan Anwar, silakan,” katanya di laman Facebooknya.

Terdahulu, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh mengusulkan supaya Setiausaha Agung BN itu dipecat daripada parti itu.

Usul berkenaan dicadangkan oleh Ketua Pemuda UMNO Pasir Puteh, Muhammad Saifullah Ali semasa mesyuarat perwakilan pergerakan berkenaan pada Sabtu.

Menurutnya, parti perlu mengambil tindakan tegas dengan memecat keahlian Annuar selepas beliau dilihat menjadi tali barut dan jurucakap kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/117632/BERITA/Politik/BN-pecat-Annuar-Musa-lantik-Ahmad-Maslan-Setiausaha-Agung-BN

CATEGORIES

COMMENTS