Bersatu akan tentukan kedudukan kerjasama dengan Umno malam ini

Bersatu akan tentukan kedudukan kerjasama dengan Umno malam ini

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membincangkan hubungan parti itu dengan Umno pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) malam ini.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Senator Datuk Razali Idris berkata, kedudukan kerjasama antara dua parti itu akan diputuskan pada mesyuarat MT dipengerusikan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Apa juga keputusan hasil mesyuarat terutama berkaitan cadangan Umno menolak kerjasama dengan Bersatu akan diumumkan malam ini.

“Kita tidak terkejut dengan tindakan perwakilan parti menolak kerjasama dengan Bersatu, tetapi saya tegaskan penolakan itu bakal menyaksikan berlaku perpecahan kalangan Melayu dan umat Islam, ” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penyampaian sumbangan Ketengah Ambik Cakna sempena majlis Back To School peringkat daerah Marang di Dewan Utama Majlis Daerah Marang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Ketengah Holding Sdn Bhd (KHSB), Mohd Zaid Sulaiman dan Pegawai Pendidikan Daerah Marang, Mohamad Nawawi Rani.

Razali yang juga Timbalan Majlis Senator Malaysia (MSM) berkata, walaupun Umno memutuskan tidak kerjasama dengan Bersatu ia tidak menjejaskan persiapan parti berhadapan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) biarpun akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

“Pucuk pimpinan tertinggi Umno juga perlu meneliti semula penubuhan Perikatan Nasional (PN) yang dipersetujui tiga presiden parti itu Pas, Umno dan Bersatu,” katanya.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/660917/bersatu-akan-tentukan-hubungan-dengan-umno-malam-ini

CATEGORIES

COMMENTS