Umno, Bersatu, Pas hanya akan runding kerusi dimenangi PH, kata MB Kedah

Umno, Bersatu, Pas hanya akan runding kerusi dimenangi PH, kata MB Kedah

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor berkata PAS, Umno dan Bersatu hanya akan berunding di kerusi yang sebelum ini dimenangi Pakatan Harapan (PH) .

Jelasnya, tiada pertembungan antara ketiga-tiga parti itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang kerana masing-masing sudah mencapai persetujuan untuk mempertahankan kerusi dimenangi pada pilihan raya lalu.

“Tempat PH menang baru kita runding, tempat tak berlaga (bertembung) tak perlu runding,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Hubungan Umno dengan parti serpihannya Bersatu – yang merupakan sekutu di peringkat Pusat –  kini retak dengan Umno dijangka akan membuat keputusan sama ada untuk meneruskan kerjasama dengan parti itu atau sebaliknya pada perhimpunan agung mereka, hujung bulan ini.

Konflik antara Umno dan Bersatu menjadikan PAS sebagai tumpuan, sama ada parti itu akan setia bersama Umno dalam Muafakat Nasional (MN) atau kekal bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

PAS bagaimanapun berulang kali menegaskan bahawa Umno dan Bersatu perlu kekal menjadi rakan sekutu.

Mei lalu PN Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan baru selepas mereka mendapat sokongan 23 ahli dewan undangan negeri (Adun) termasuk dari Bersatu.

Dua puluh tiga Adun terbabit adalah 15 daripada PAS, Bersatu (empat), Umno (dua) dan Bebas (dua) yang juga bekas ADUN PKR.

Secara keseluhan DUN Kedah mempunyai 36 kerusi.

Dalam pada itu, Sanusi berkata hubungan antara tiga parti membabitkan Umno, PAS dan Bersatu tidak bermasalah di negeri itu.

“Kita di Kedah tidak ada masalah dengan Umno, Bersatu. Semua OK.

“Saya rasa tidak ada (pertembungan), saya jaga parti saya dan kita jadi ejen kepada perpaduan ummah?

“Kita pertahan semuanya (kerusi dimenangi), tiga (kerusi) parlimen dan 15 DUN. Malah seluruh negara (kerusi) kita menang, kita kekal bertanding,” katanya lagi.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/558260

CATEGORIES

COMMENTS