Ibrahim Ali cadang perkenal sistem dua parti elak kemelut politik berulang

Ibrahim Ali cadang perkenal sistem dua parti elak kemelut politik berulang

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) beranggapan sudah sampai masanya negara melakukan reformasi politik supaya segala kemelut yang berlaku tidak terus berulang.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali mencadangkan supaya sistem dua parti diperkenalkan di mana kedua-du blok politik ini ketika bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) tidak menyentuh isu berkaitan kaum dan agama.

Katanya, menerusi sistem itu, Fasa 151, 152 dan 153 iaitu Islam sebagai agama rasmi Persekutuan kekal tanpa diganggu gugat oleh mana-mana pihak dari dua blok itu.

“Maknanya dalam kempen pilihan raya nanti, mereka hanya diizinkan menyentuh isu membawa kebaikan kepada negara, kerajaan telus dan mencadangkan buah fikir untuk menjana ekonomi yang baik.

“Menerusi sistem dua parti ini juga, mana-mana parti yang bertanding dilarang sama sekali menyentuh isu agama dan perkauman.

“Cadangan ini boleh difikirkan kerana untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku hari ini amat sukar disebabkan kedudukan 50-50 bagi kedua pihak,” katanya kepada media selepas majlis perjumpaan Presiden Putra dengan kepimpinan Putra Kedah dan penyerahan borang keahlian baharu di Kedah semalam.

Turut hadir, Pengerusi Perhubungan Putra Kedah, Datuk Mustafa Idrus dan Pengerusi Perhubungan Putra Pulau Pinang, Nasir Othman.

Pada majlis itu, Ibrahim menerima 500 borang keahlian baharu bagi negeri Kedah, yang menyaksikan kemasukan beberapa usahawan termasuk bekas Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Datuk Hassan Yaacob dan bekas Pengarah Jabatan Pendidikan Kedah, Datuk Taufiq Samad.

Antara usahawan yang turut menyertai Putra ialah Datuk Seri Aziz Ibrahim dan Datuk Dr. Husaini Yaacob serta bekas Ahli Parlimen Merbok, Prof. Ismail Daud.

Ditanya pandangannya mengenai kemelut yang berlaku dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), Dr. Ibrahim mengulas, Putra menyokong penuh sekiranya Yang di-Pertuan Agong memberi ampun perkenan mengisytiharkan darurat.

Katanya, beliau berpandangan demikian kerana kemelut politik sekarang dan apa juga penyelesaian yang dicapai, tidak menjamin kestabilan politik akan pulih.

Ditambah pula dengan negara diancam wabak Covid-19 dan masalah ekonomi yang semakin merudum sehingga meletakkan negara ini di persimpangan.

“Cara terbaik ialah Yang di-Pertuan Agong sama ada menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan melantik Perdana Menteri baharu, membubarkan Dewan Raya untuk diadakan PRU dan mengisytiharkan darurat mengikut Perlembagaan.

“Kalau ditanya kepada Putra, kita memilih formula ketiga iaitu isytihar darurat. Ini kerana tidak mungkin PRU boleh diadakan dalam masa terdekat kerana ancaman Covid-19 dan ekonomi yang rapuh serta tenat sekarang ini,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan edah kerajaan sekarang berakhir Mei 2023, lebih baik Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat dan melantik Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang bertindak mengurus pentadbiran negara selama tempoh dua tahun ini.

Sumber: https://malaysiagazette.com/2021/01/11/putra-cadang-wujud-sistem-dua-parti-selesai-kemelut-politik-tok-him/

CATEGORIES

COMMENTS