ADUN Malim Nawar tidak akan jawab surat jawatankuasa tatatertib DAP

ADUN Malim Nawar tidak akan jawab surat jawatankuasa tatatertib DAP

Adun Malim Nawar, Leong Cheok Keong tidak akan menjawab surat jawatankuasa tatatertib DAP yang meminta penjelasannya berhubung dakwaan dia akan menyertai MCA.

Katanya, jawatankuasa itu harus meminta penjelasan daripada pemimpin lain yang membuat kenyataan “menyimpang daripada prinsip parti”.

“Beberapa pemimpin mendakwa mereka ingin mencipta landskap politik baru dengan Umno atau parti lain. Kenapa mereka tak perlu beri penjelasan?

“Ini tak adil bagi saya. Oleh itu, saya telah memutuskan untuk tak akan berikan penjelasan.

“Jika jawatankuasa mahukan penjelasan, maka setiap orang harus menjelaskan juga. Tidak boleh ada dwistandard. Saya tak boleh dijadikan sasaran, ”katanya kepada Malaysiakini.

Walaupun tidak menamakan mana-mana pemimpin, Leong diketahui berbalah dengan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, termasuk ketika parti itu mempertimbangkan kesediaan bekerjasama dengan Umno pada Disember lalu bagi membentuk kerajaan negeri yang baru.

Ditanya adakah dia bimbang dipecat daripada DAP, Leong memetik novel Cina “The Smiling, Proud Wanderer” dan membandingkan dirinya dengan watak protagonis yang disingkirkan tuannya.

“Saya juga ingin tahu jika mereka mahu mengusir saya,” tambahnya.

Jumaat lalu, China Press memetik sumber menyatakan MCA sedang dalam proses memuktamadkan keanggotaan Leong.

Presiden MCA Wee Ka Siong secara peribadi juga dilapor akan menyerahkan kad keahlian kepada Adun berkenaan.

Ditanya mengenai perkara itu, Leong memilih untuk berdiam diri tetapi memberi jaminan kepada pengundi di kawasannya bahawa pusat khidmatnya akan terus beroperasi.

Jadi mangsa buli siber

Sementara itu, Leong juga berkata dia dan keluarganya telah menjadi mangsa buli siber berhubung isu itu.

“Mereka bahkan mengatakan saya sebagai binatang,” katanya.

Leong berkata dia bersedia untuk berdebat mengenai pendirian politiknya dengan para pengkritik.

“Ketika mereka (pemimpin DAP) menghadapi tuduhan di mahkamah atau disiasat, mereka mengatakan keluarga mereka tidak boleh diheret sekali.

“Tapi mengapa keluarga saya diserang?” soalnya.

Berita penuh: https://www.malaysiakini.com/news/559118?fbclid=IwAR0Sqx6y1DM96m69pVxP42W0udXxKtcgRp_DJRqx-zS_MwJX1UUNLHQcWjE

CATEGORIES

COMMENTS