Heret kerajaan PN ke mahkamah, Anwar tak habis-habis kejar jawatan, kata Bersatu

Heret kerajaan PN ke mahkamah, Anwar tak habis-habis kejar jawatan, kata Bersatu

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan menempelak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat terus bermain berpolitik meskipun negara dalam pelaksanaan Proklamasi Darurat.

Beliau berkata, dalam tempoh itu juga, niat untuk merampas kuasa masih diteruskan Ahli Parlimen Port Dickson itu berbanding menumpukan usaha membantu rakyat yang berdepan isu banjir dan COVID-19.

Dengan tindakan itu, beliau mempersoalkan adakah Anwar sudah lupa akan agenda rakyat, hanya kerana mengejar jawatan?

“Selepas mengaku mendapat sokongan yang ‘formidable and convincing‘ untuk kesekian kalinya, kali ini nak (ingin) bawa kerajaan ke mahkamah pula.

“Rakyat sepatutnya boleh lega kerana dalam tempoh darurat, orang politik sepatutnya kurangkan politik (dan) boleh tumpu usaha bantu rakyat yang dilanda banjir dan COVID-19.

“Tetapi ini masih tidak habis-habis nak rampas kuasa. How detached from reality can one be? Sudah terlupa agenda rakyat sebab mengejar jawatan,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebooknya di sini, pada Ahad.

Terdahulu Anwar menyifatkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin digambarkan seolah-olah tidak mampu memberi sebarang keyakinan, apatah lagi menjanjikan masa depan yang lebih baik, ketika negara masih bergelut mengekang pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, Wan Saiful turut menasihatkan Anwar agar tidak menuduh pihak lain demi membersihkan nama sendiri.

“Menuduh bahawa Muhyiddin mengkhianati Tun Dr Mahathir Mohamad, sedangkan semasa (dalam) Pakatan Harapan (PH), yang mengkhianati Dr Mahathir ialah dia sendiri yang tak habis-habis menggerakkan pendewa-pendewanya suruh Dr Mahathir meletak jawatan.

“Dulu di depan dia (Anwar) kata sokong Dr Mahathir, tapi di luar aktif menggerakkan jentera untuk mengkhianati Dr Mahathir.

“Jangan nak bersihkan nama sendiri dengan cara tuduh Perdana Menteri pula. Kata dulang paku serpih,” bidas Wan Saiful lagi.

Sementara itu, beliau menegaskan, kerajaan PN terus beristiqamah dalam memfokuskan keperluan rakyat secara menyeluruh.

“Menuduh pula bahawa kerajaan tidak ada rancangan yang jelas. Kalau ada pandangan yang lebih baik, cuba sebut apa cadangan itu. Bukan bermain cakap kosong saja.

“Walaupun setiap hari diganggu dengan suara sumbang sebegini, Muhyiddin tetap dengan fokus beliau untuk rakyat.

“Cadangan yang lebih baik satu pun tidak ada, tetapi belum habis dengan cita-cita peribadi,” ujar beliau lagi. – AA

CATEGORIES

COMMENTS