Permai tak beri moratorium secara automatik, masih bergantung pada bank, kata Najib

Permai tak beri moratorium secara automatik, masih bergantung pada bank, kata Najib

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengkritik Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan hari ini tidak memberikan moratorium secara automatik sebaliknya bergantung kepada pihak bank.

Menurut Najib, kebanyakan inisiatif yang diumumkan tadi sebenarnya sudah ada dalam Belanjawan 2021 dan bukan khusus untuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat ketika ini.

“Lanjutan moratorium pinjaman masih bukan automatik dan tiada faedah seperti moratorium pertama tahun lepas. Masih terpulang kepada bank masing-masing,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Terdahulu, kerajaan melancarkan Permai bernilai RM15 bilion bagi mengurangkan beban rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebanyak 22 inisiatif akan dilaksanakan di bawah Permai yang berteraskan kepada tiga matlamat utama iaitu memerangi wabak Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pekan itu menyambut baik penambahbaikan kerajaan pada permohonan kategori 2 i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Walaupun bukan automatik dan tanpa syarat untuk pengeluaran dari akaun satu sehingga RM10,000, KWSP akan membayar wang pendahuluan sebanyak RM1,000 bagi pemohon bawah kategori dua,” katanya. – SH

CATEGORIES

COMMENTS