Harga jualan runcit minyak masak naik!

Harga jualan runcit minyak masak naik!

MINYAK MASAK PAKET 1KG DI NEGERI PERAK MASIH TERKAWAL

IPOH, 20 Jan — Minyak masak paket satu kilogram di Negeri Perak masih terkawal dan sehingga kini pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Perak tidak menerima aduan berkaitan masalah tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Negeri, YB Dato’ Abdul Yunus Jamahri berkata, Anggota Penguatkuasa KPDNHEP telah diminta untuk menjalankan pemeriksaan harian bekalan minyak masak di pasaran.

“Hasil pemeriksaan mendapati wujud sedikit kekurangan bekalan minyak masak paket satu kilogram di beberapa kawasan dan isu sama berlaku di beberapa negeri lain, namun situasi ini tidak menjejaskan keseluruhan minyak masak paket di Negeri Perak.

“Pembungkusan dan pengedaran minyak masak paket dikeluarkan seperti biasa mengikut kuota yang diberikan sebanyak 60,000 tan minyak masak bersubsidi setiap sebulan untuk diedarkan di seluruh negeri,” jelasnya melalui satu siaran media hari ini.

Bagi negeri Perak, sebanyak 24 syarikat pembungkus (repacker) telah diberikan kuota berjumlah 3,003 tan minyak masak bersubsidi sebulan.

Tambahnya, harga jualan runcit minyak masak botol telah menunjukkan kenaikan sejak kebelakangan ini ekoran peningkatan harga minyak sawit mentah di pasaran dunia.

“Berdasarkan tinjauan, harga minyak masak botol lima kilogram adalah dalam lingkungan RM24.50 hingga RM26.30. berikutan itu, pengguna termasuk peniaga telah beralih penggunaan minyak masak dari bungkusan botol kepada bungkusan paket disebabkan perbezaan harga,” ujarnya.

Peralihan tersebut turut menyebabkan permintaan terhadap minyak masak paket meningkat dan secara tidak langsung memberi kesan kepada bekalan minyak di pasaran.

Minyak masak paket satu kilogram merupakan salah satu barang kawalan yang diberikan subsidi oleh kerajaan untuk kegunaan isi rumah dan jualan per paket ditetapkan pada harga RM2.50 sepaket.

Manakala harga minyak masak bungkusan botol di pasaran (satu hingga 5 kilogram) adalah tidak dikawal oleh kerajan dan bergantung kepada harga Minyak Sawit Mentah di pasaran dan dunia menjadikan harga produk tersebut berbeza-beza di kedai runcit dan pasaraya.

Bagi mengawal pembelian minyak masak paket di pasaran, KPDNHEP telah membenarkan penjual runcit mengenakan had pembelian minyak masak paket sebanyak tiga unit (satu kilogram) bagi satu transaksi untuk setiap pelanggan bermula 19 Januari ini.

Pengguna dinasihatkan supaya melaporkan sebarang masalah berkaitan bekalan barang kawalan di pasaran kepada KPDNHEP dan tindakan perundangan akan diambil kepada peniaga yang menyorok barang kawalan. – Stratcom

CATEGORIES

COMMENTS