Jangan beri persepsi buruk kepada frontliner, kata MB Perak

Jangan beri persepsi buruk kepada frontliner, kata MB Perak

Kerajaan Negeri merayu orang ramai terutamanya premis perniagaan, supaya tidak memandang serong terhadap kakitangan penjara kerana persepsi itu menimbulkan ketidakselesaan kepada petugas barisan hadapan, dalam mengekang penularan wabak COVID-19.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata pihaknya menerima maklumat terdapat premis-premis perniagaan di Taiping, yang menampal pelekat bertulis larangan untuk kakitangan penjara dan Kem Tahanan Kamunting (Kemta), memasuki premis mereka.

“Kakitangan penjara dan petugas barisan hadapan tidak bersalah dan persepsi itu memberikan gambaran tidak baik, sedangkan mereka yang dijangkiti COVID-19 adalah banduan yang berada di dalam penjara.

“Cara itu merupakan satu hukuman yang salah, kerana yang positif wabak itu hanya melibatkan banduan dalam penjara, tetapi yang keluar itu adalah kakitangan yang bertugas dan mereka telah menjalani kuarantin.

“Kecenderungan orang ramai takut, tetapi janganlah kita memberikan persepsi yang salah kepada petugas barisan hadapan sehingga mereka malu, sedangkan mereka perlu ke kedai dan pasar raya untuk membeli barangan keperluan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Changkat Jering di sini hari ini.

Saarani turut meminta semua pihak supaya menghormati dan menghargai petugas barisan hadapan termasuk pasukan polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), yang bersusah payah memastikan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 (PKRC) di Perak di dua lokasi iaitu Arena Badminton Perak, Ipoh dan Ulu Kinta, masih mampu menampung jumlah pesakit kerana terdapat pesakit yang dikuarantin akan dibebaskan dalam tempoh 10 hari.

“Dulu ada cadangan hendak mewujudkan PKRC di Taiping, tetapi setakat ini ia akan diwujudkan di luar Perak di sebelah utara manakala mereka yang dari selatan Perak dihantar ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor,” katanya.

Ditanya mengenai rayuan peniaga pasar malam yang mahu beroperasi ketika tempoh PKP, Saarani berkata mereka boleh membuat permohonan untuk dihantar kepada Majlis Keselamatan Negera (MKN).

“Setiap kali mesyuarat, ada pihak memohon kelonggaran, tetapi kita tidak boleh meluluskan dengan mudah kerana pematuhan SOP yang ketat perlu dilihat dan dipatuhi oleh peniaga dan pengunjung pasar-pasar malam, pasar tani dan sebagainya,” katanya.

Saarani turut meminta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), semua wakil rakyat dan ketua jabatan di negeri ini, supaya mematuhi SOP apabila turun menyampaikan bantuan kepada rakyat, supaya memberikan teladan yang baik kepada masyarakat dan dinasihatkan mengelakkan diri daripada melakukan swafoto, kerana dibimbangi menyumbang kepada penularan wabak COVID-19.  – UO

CATEGORIES

COMMENTS