Selepas Razman ‘kantoi’ langgar SOP, Anwar tegur pemimpin supaya patuh dan jadi teladan

Selepas Razman ‘kantoi’ langgar SOP, Anwar tegur pemimpin supaya patuh dan jadi teladan

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bukan kadar kompaun yang perlu dinaikkan ketika ini sebaliknya perincian penguatkuasaan yang perlu diperjelaskan.

Tegasnya lagi, pemimpin seharusnya menjadi teladan yang baik kepada rakyat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Kita juga perlu ingat bahawa masalah ketika ini bukan sekadar nak naikkan denda, saya bimbang kepada mereka yang di bawah seperti petani, pesawah dengan reaksi mereka berkenaan perkara ini.

“Saya tidak fikir keutamaan ketika ini ialah menaikkan kadar kompaun tetapi penguatkuasaan itu harus jelas dan contoh itu datang daripada pemimpin juga.

“Dalam mengetatkan beberapa peraturan, ia harus jelas. Saya ada juga tanya kepada anggota polis yang menjaga di sekatan jalan raya, penguatkuasaan mana yang dipakai dan katanya banyak sekali.

“Jadi saya fikir clarity (kejelasan) itu penting berkenaan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh bagi memudahkan tugas mereka,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Bicara Anwar Ibrahim yang disiarkan secara langsung di Facebook rasminya pada Rabu.

Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 di negara ini, kemelut yang dihadapi petugas barisan hadapan termasuk tekanan kerja, lambat dapat elaun tidak wajar dimaafkan.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat menjelaskan perkara-perkara yang disuarakan barisan hadapan itu perlu diberi tumpuan lebih memandangkan mereka bertarung nyawa demi keselamatan rakyat.

Beliau turut menggesa agar agar ujian saringan COVID-19 itu lebih meluas terutama membabitkan kawasan tercetus kluster baharu. – AA

CATEGORIES

COMMENTS