Tommy Thomas dakwa kerajaan PH lemah dalam laksanakan reformasi undang-undang

Tommy Thomas dakwa kerajaan PH lemah dalam laksanakan reformasi undang-undang

Bekas peguam negara Tommy Thomas menganggap prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha mereka melakukan reformasi undang-undang sebagai “lemah”.

Malah Thomas menyifatkan PH sebagai teragak-agak dan mengalah kepada kecenderungan masyarakat.

Salah satu contoh yang dikemukakan Thomas ialah pemansuhan hukuman mati. Kata Thomas ketika itu Jabatan Peguam Negara sudah bersedia agar rang undang-undang itu dibahaskan pada sidang Dewan Rakyat pada Okt 2018.

“Kabinet – selepas membincangkan pindaan berkenaan – menangguhkannya. Mesej kepada kami ialah pemansuhan itu tidak diterima kerana terdapat bantahan yang kuat.

“Jabatan Peguam Negara diminta membuat versi lain tanpa perlu sehingga mencadangkan pemansuhan penuh hukuman mati. Tetapi tiada dasar alternatif diberikan kepada kami.

“Sikap kabinet itu mengecewakan. Media Cina menentang penghapusan hukuman mati kerana ramai kalangan masyarakat terbabit mahukan hukuman mati kekal.

“Ini seterusnya menyebabkan beberapa anggota parlimen memiliki pandangan kedua,” katanya.

Thomas menceritakan hal itu melalui memoirnya yang baru diterbitkan. My Story: Justice In The Wilderness.

Gagal cegah jenayah dadah

PH sebelum ini menyarankan agar peruntukan hukuman mati mandatori dalam undang-undang negara digantikan namun ia mendapat bantahan sesetengah pihak.

Menurut Thomas bantahan juga datang daripada agensi keselamatan bawah Kementerian Dalam Negeri, manakala PAS memasukkan unsur-unsur nilai agama dalam hal tersebut.

Sebaliknya, kata Thomas, dia terkejut apabila Jabatan Penjara tidak membantah cadangan memansuhkan hukuman mati.

“Delegasi berkuasa besar dari Lembaga Penjara menemui saya di pejabat. Kami berbincang secara ikhlas dalam pelbagai isu yang membabitkan kepentingan bersama.

“Lebih signifikan, pegawai Jabatan Penjara tidak ada bantahan terhadap cadangan saya agar hukuman mati dimansuhkan.

 

“Mereka bersetuju ada beberapa kesalahan dalam kes pengedaran dadah, hukuman mati mandatori Malaysia tidak dapat menjadi pencegah.

“Pendekatan lebih holistik perlu dipertimbangkan untuk menangani masalah besar dadah yang memberi kesan kepada ratusan ribu rakyat Malaysia.

“Secara keseluruhan saya dapat pandangan mereka progresif,” katanya.

Malah Thomas menambah perbincangan di antara dia dengan Jabatan Penjara itu adalah satu daripada sesi yang paling berjaya dan produktif sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai peguam negara.

Katanya dia juga difahamkan moratorium hukuman mati sudah ada sewaktu Najib Razak berkhidmat sebagai perdana menteri dan dilaksanakan pada Jan 2018 walaupun tidak didedahkan.

Semasa berbincang dengan Muhyiddin Yassin – ketika itu menjadi menteri dalam negeri – presiden Bersatu itu juga bersetuju dengan cadangan memansuhkan hukuman mati namun rancangan itu tergendala apabila ahli parlimen Pagoh terbabit dimasukkan ke hospital bagi rawatan kanser.

Thomas menambah dia cuba meyakinkan kerajaan bahawa mereka mesti menunjukkan kepemimpinan dalam isu hukuman mati.

“Saya memberitahu beberapa menteri, hukuman mati adalah contoh klasik untuk ahli-ahli parlimen mesti memimpin pandangan masyarakat,” katanya. – MK

CATEGORIES

COMMENTS