Kecewa dengan kerajaan PN, pengusaha bas rayu Agong campur tangan selamatkan industri

Kecewa dengan kerajaan PN, pengusaha bas rayu Agong campur tangan selamatkan industri

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang mewakil kepentingan pengusaha-pengusaha bas hari ini berhimpun di Istana Negara di Kuala Lumpur bagi memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong bagi menyelamatkan industri bas dan sektor pelancongan di negara ini.

Sambil mendakwa, pelaksanaan perintah kawalan pergerakan telah menjejaskan periuk nasi mereka, jurucakap kumpulan itu, R Thiagarajan berkata, kerajaan seolah-olah melepaskan tanggungjawap sehingga mereka tiada tempat untuk mengadu nasib.

“Usaha Gabungan Bas Malaysia demi memastikan industri bas dan pelancongan negara hampir menemui kegagalan di mana sehingga kini, hampir setahun kami berusaha untuk memperjuangkan nasib industri ini namun kesungguhan kementerian dalam menyelesaiakan permasalahan ini dengan kadar segera tidak dilaksanakan.

“Kami mohon keprihatinan dan kebijaksanaan Seri Paduka untuk menyelamatkan pengusaha-pengusaha yang dalam keadaan kritikal serta industri bas dan pelancongan negara yang dicintai,” katanya kepada¬†Malaysiakini.

Terdahulu, dia bersama Timbalan Pengerusi Gabungan Bas Malaysia, Ahmad Ruslan Abdul Latiff menyerahkan memorandum rayuan mereka kepada pihak istana.

Wakil pertubuhan lain yang hadir sama adalah Pertubuhan Pengusaha Bas Ekspres Malaysia, Gabungan Pengusaha Bas Pesiaran Zon Utara, Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Johor dan Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Sekolah Kelantan.

Menurut Thiagarajan, kementerian-kementerian yang terlibat dalam sektor tersebut adalah Kementerian Pengangkutan Malaysia, Kementerian Pelancongan Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP),Kementerian Kewangan Malaysia serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Puluhan surat telah diutuskan pada kementerian-kementerian tersebut, dan hanya beberapa kementerian sahaja yang membalas serta berjumpa dengan pihak gabungan.

“Walaupun permasalahan tersebut dibangkitkan dalam mesyuarat tersebut namun masih ada beberapa perkara yang tiada penyelarasan dan tempoh pelaksanaan tindakan tersebut seakan dilewatkan,” katanya.

Dia juga mendakwa bahawa KPKT dan KPDNHEP telah mewartakan perjanjian sewa beli (akta sewa beli 1967) atau kontrak pajakan dan kontrak jualan kredit di bawah warta perintah langkah-langkah sementara bagi mengurangkan kesan pandemik Covid-19 (pindaan jadual 2020).

Namun, katanya pelaksanaan warta itu tidak konsisten kerana syarikat-syarikat pinjaman kredit masih melakukan tindakan penarikan serta dakwaan walaupun menurut warta tersebut sebarang tindakan tidak boleh dilakukan sehingga 31 Mac .

“Selain itu, Kementerian Pengangkutan Malaysia sehingga kini tidak berjumpa dengan mana-mana persatuan bas atau pihak sekretariat gabungan untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul di bawah penyelerasan kementerian tersebut.

“Keadaan ini menyukarkan pengusaha-pengusaha untuk membawa isu-isu yang difikirkan relevan kepada pihak kementerian untuk mendapatkan penyelesaian dan penjelasan,” katanya sambil menambah bahawa agensi-agensi di bawah kementerian seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) tidak konsisten dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kementerian.

Menurutnya, pengusaha-pengusaha bas berharap Yang di-Pertuan Agong dapat menyelamatkan industri tersebut. – MK

CATEGORIES

COMMENTS