Karya terakhir Raja, pesanan buat pemimpin

Karya terakhir Raja, pesanan buat pemimpin

Karya terakhir Raja.

Suatu ketika, saya masuk ke dalam bilik pejabatnya. Itu memang rutin kami hampir setiap hari. Atau Raja datang jengok ke bilik saya. Kami satu jabatan tetapi berlainan blok. Raja tunjukkan manuskrip buku yang akan dicetak. Raja minta saya komen.

Sayapun selak satu demi satu helaian. ‘Bila masanya anta buat ni? Saya tanya. ‘Masa bisa diatur, Bang’ Memang style Raja jawab begitu. Tidak serius. Kebelakangan itu, Raja banyak cuti sakit. Rawatan chemotherapy bersambung-sambung dari minggu ke minggu. Selepas rawatan, biasanya Raja agak lemah tapi dia gagahi ke universiti.

Sejak itu, kami agak jarang breakfast dan lunch sama. Itulah detik yang menyegarkan kami bersama. Meski seleranya sudah tidak seperti dulu-dulu. Jika Raja datang ke universiti, pasti dia ajak makan sama, walaupun dia sendiri hanya ambil secubit. Raja hanya meraikan detik bersama dengan kawan.

Asal buku itu bertajuk ‘Nasihat Buat Pemimpin’ dan namanya ada title doktor. Saya cadangkan tajuk lain. Tukar ‘nasihat’ kepada ‘pesanan’. Tak payah bubuh title doktor. Raja pun setuju. Dalam sudut hati kecil saya, barangkali bukunya itu boleh dianggap sebagai ‘the last words’.

Namun dari sudut yang sama juga, saya mengharapkan agar Raja akan kembali pulih seperti sediakala. Banyak perkara yang nak kami buat. Raja banyak idea dan bersungguh untuk melaksanakan sesuatu idea yang dipersetujui. Raja ajak tulis pasal ‘Raja-raja Melayu’ khususnya sejarah raja-raja di Perak. Saya setuju tapi tak sempat nak buat.

Bahkan dua tiga hari sebelum pemergiannya, Raja bercerita tentang pengalamannya menghadapi kesakitan yang ditanggungnya sehari sebelum itu. ‘Rasa macam nak ‘inna lilahi waina illahi rajiun’ saja, Bang’. Raja cakap pada saya ketika itu. ‘Eh jangan cakap gitulah. InsyaAllah sihat.’ Saya balas dengan kata-kata yang positif sahaja. Sempat lagi cerita politik dan universiti. Hatta pasal progres pelajar master yang kami selia, masih ditanya. Don’t worry la.

Keesokannya, Raja pergi buat selama-lamanya. Orang tua pernah kata, itulah petanda malaikat Izrail mahu hadir. Seolah-olah ia memberi satu memori indah sebelum Izrail datang mengambil jiwa seorang hamba manusia ke alam lain. Sama pengalaman saya dengan bapa sebelum dijemput bapa menghadap Allah swt. Bapa juga menghidap kanser. Dua tiga hari sebelum malaikat datang buat kali terakhir, bapa seperti ceria, segar dan sembuh. Kamipun bersyukur dan gembira. Tapi itulah kenangan terakhir kami dengannya.

Semoga Allah swt mengurniakan rahmatNya ke atas roh sahabat kami semua. Itulah pinjaman terbaik yang Allah kurniakan kepada kami semua. Panjangkan doa kita kepada rakan taulan lain.

Tulisan Dr Muhaimin Sulam

CATEGORIES

COMMENTS