MP PKR ingatkan Mahathir berhenti berlagak seperti orang hilang ingatan

MP PKR ingatkan Mahathir berhenti berlagak seperti orang hilang ingatan

Tun Dr Mahathir Mohamad diingatkan supaya berhenti menafikan bahawa beliau bukan punca utama jatuhnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas tindakannya sendiri yang meletakkan jawatan Perdana Menteri pada Februari tahun lalu.

Ahlli Majlis Pimpinan Keadilan , Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid sebaliknya mencabar Dr Mahathir menceritakan perkara sebenar selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dinamakan sebagai calon Perdana Menteri ke-8.

“Nasihat saya kepada Tun Mahathir berhentilah berlagak seperti orang lupa ingatan. Selepas beliau meletakkan jawatan, Setiausaha Agung Keadilan, Datuk Seri Saifuddin Nasution telah menghubungi beliau untuk menyertai mesyuarat PH.

“Ia bagi membincangkan calon Perdana Menteri baharu tetapi jemputan tersebut ditolak oleh Dr Mahathir sendiri.

“Maka PH membuat keputusan secara konsesus melalui mesyuarat menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

“Menyedari Pagoh (Ahli Parlimen) akan dilantik sebagai Perdana Menteri, barulah beliau mahu bersama PH ketika itu dan meminta namanya dicalonkan. Mengapa kisah ini tidak diceritakan dalam penafian dan penjelasan beliau sendiri?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir menafikan tindakan beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri menjadi punca kejatuhan Kerajaan PH pada Februari 2020.

Sebaliknya beliau berkata, PH jatuh kerana memilih Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri semasa membuat pengakuan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dr Mahathir mengulas buku ditulis bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang berpendapat bahawa peletakan jawatan Perdana Menteri sebagai ‘surrender of power’, penyerahan balik kuasa yang sukar difahami.

Sementara itu, Abdullah Sani yang juga ahli Parlimen Kapar mempersoalkan tindakan Dr Mahathir yang berterusan menyalahkan Anwar kerana kejatuhan Kerajaan PH sedangkan jelas ahli Parlimen Langkawi tidak mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

“Setelah undian dibuat melalui undian persendirian ahli Parlimen, jelas Dr Mahathir jauh ketinggalan dengan hanya mendapat 62 undi berbanding Anwar yang memperoleh 92 undi. Kenapa yang dapat 92 undi kena ikut orang yang kalah?

“Dr Mahathir tidak pernah berhenti menyalahkan Anwar Ibrahim atas kejatuhan PH. Mahathir sepatutnya muhasabah diri atas apa yang berlaku semua ini adalah dari tindakan beliau sendiri,” katanya lagi. – MG

CATEGORIES

COMMENTS