SOP Tahun Baru Cina: Pemuda UMNO kecam timbalan menteri MCA

SOP Tahun Baru Cina: Pemuda UMNO kecam timbalan menteri MCA

KUMPULAN pemimpin Pemuda Umno menyelar timbalan menteri dari MCA, Ti Lian Ker yang tidak puas hati dengan garis panduan ketat untuk sambutan Tahun Baru Cina.

Kelab Jaringan Naib-Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia (Kagum) menganggap Ti hanya cuba meraih publisiti murahan kerana mengkritik prosedur operasi standard (SOP) itu secara terbuka.

Pada masa sama, badan itu turut mengingatkan Ti bahawa SOP lebih ketat dikuatkuasa bagi sambutan perayaan lain sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan terdahulu.

“Sekiranya tindakan senator ini hanya merupakan satu publisiti politik untuk mencari populariti dan berjuang untuk perayaan tertentu, Kagum mengingatkan bahawa sambutan Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Deepavali, Hari Natal dan Thaipusam turut dikenakan sekatan yang ketat.”

Kagum juga menegaskan, Ti sepatutnya menyampaikan kritikan melalui saluran betul dan menganggap kritikan timbalan menteri perpaduan itu menggugat keyakinan rakyat ke atas kerajaan.

“Tindakan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Ti Lian Ker ini menggugat keyakinan rakyat terhadap usaha kerajaan.

“Mustahil sebagai ahli kepimpinan tertinggi dalam barisan kerajaan, Senator Ti tidak mampu berkomunikasi dan menyatakan bantahan melalui saluran yang betul,” kata Kagum.

Badan itu juga percaya perkembangan itu menggambarkan keresahan lebih besar di kalangan rakyat kerana pemimpin seperti Ti sendiri tidak dapat memberi reaksi yang baik ke atas SOP berkenaan.

Kagum turut mendesak agar anggota mesyuarat jawatankuasa yang menentukan SOP PKP ditukar agar turut melibatkan ahli Parlimen pembangkang dan seluruh anggota Kabinet.

Ti meraih perhatian melalui coretannya di Facebook pada 4 Februari yang menggariskan kesilapan dalam SOP diumumkan kerajaan bagi sambutan Tahun Baru Cina.

“Ada orang buat silap besar di sini. SOP ini mesti ditarik balik dan dipersetujui. Ini bukan SOP tetapi kota larangan,” katanya.

Ti mengulas SOP yang antara lain menetapkan jamuan makan besar untuk sambutan Tahun Baru Cina hanya boleh dihadiri anggota keluarga dari rumah sama bagi mengelak jangkitan Covid-19.

Hanya 20 orang dibenarkan hadir untuk sambutan di rumah dan persembahan tarian naga, perarakan tanglung, perarakan chingay dan pertunjukan pentas juga dilarang.

Ia turut mendapat kritikan pembangkang seperti ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming yang menggesa agar kerajaan membenarkan perhimpunan keluarga dalam daerah sama.

Susulan itu, kerajaan kini berura-ura untuk menyemak semula SOP berkenaan.

PKP yang dilanjutkan sehingga 18 Februari menyekat sebarang perhimpunan dan pergerakan rentas negeri dan daerah bagi memutuskan rantain jangkitan Covid-19.

Jumlah kes aktif kes Covid-19 dalam negara kini berlegar pada angka 50,000 kes dengan peningkatan lebih 3,000 kes sehari. – 7 Februari, 2021. – TMI

CATEGORIES

COMMENTS