Karenah birokrasi faktor utama FDI di Malaysia merudum – Pakar

Karenah birokrasi faktor utama FDI di Malaysia merudum – Pakar

Seorang wakil Bank Dunia ke Malaysia menyeru penyelarasan yang lebih baik dalam kalangan agensi kerajaan jika Malaysia mahu menarik lebih banyak pelaburan asing.

Pengurus Negara Bank Dunia Firas Raad berkata, terdapat “pertindihan yang signifikan” dan peranan antara 32 agensi itu yang mempromosikan pelaburan asing, mewujudkan “landskap berpecah-pecah” yang mungkin menjauhkan pelabur.

“Malaysia akan terus menunjukkan prestasi bawah jangkaan jika pendekatan yang tidak selaras itu berterusan,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia mesti meningkatkan daya saingnya jika mahu merebut peluang baru dalam perdagangan dan pelaburan global ketika pandemik Covid-19.

Putrajaya juga perlu menetapkan matlamat dasar pelaburan yang jelas, serta “membangunkan sistem insentif yang lebih bersasar, automatik dan telus”.

Komentar Raad itu menyusul pemerhatian daripada seorang pakar pengangkutan yang mengatakan, karenah birokrasi adalah faktor utama penurunan pelaburan asing di Malaysia.

Kolumnis FMT Rosli Khan berkata, banyak agensi ditubuhkan untuk membantu pelabur atau perniagaan dengan lebih baik, tetapi sebaliknya menjadikannya lebih sukar bagi sektor swasta untuk melabur dan beroperasi.

Profesor ekonomi Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway menyeru satu kajian semula terhadap pelbagai agensi pengawalselia terutama jika mereka menyebabkan iklim pelaburan negara itu kurang menarik dari negara jiran.

Beliau berkata, agensi pengawalselia perlu mewujudkan persekitaran operasi yang stabil, selamat dan terjaga serta persaingan yang setara untuk pelabur.

“Namun, jika terlalu banyak syarat birokrasi dan karenah serta menghalang kemudahan dan menaikkan kos menjalankan perniagaan, maka badan pengawalselia menjadi sebahagian daripada masalah, bukannya solusi untuk kemajuan ekonomi,” katanya.

Shankaran Nambiar dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berkata, “kita memerlukan tinjauan menyeluruh dalam memikirkan” tentang rangka pengawalseliaan.

Katanya, cara lama untuk menawarkan insentif fiskal dan utiliti pada kadar potongan tidak akan berhasil.

“Penurunan FDI baru-baru ini hanyalah simptom masalah lama,” katanya, merujuk kepada kedudukan Malaysia yang tidak baik dalam kedudukan pelaburan asing antara negara Asean. – FMT

CATEGORIES

COMMENTS