Rider didenda, VIP selesa – Raja Kamarul

Rider didenda, VIP selesa – Raja Kamarul

RIDER DIDENDA, VIP SELESA.

8 Februari 2021

1. Beberapa hari lepas saya menerima aduan di Twitter dari anak muda mengenai rakan mereka yang bekerja dalam servis penghantaran makanan di Foodpanda yang didenda RM1,000 setiap seorang semasa sedang berehat dan makan waktu bertugas.

2. Khidmat penghantar makanan pada waktu penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah penting memandangkan mereka dapat membantu mengurangkan bebanan mendapatkan bekalan makanan kepada isi rumah mahupun pejabat yang terkekang pergerakan mereka.

3. Pada masa yang sama, anak muda yang menjalankan khidmat penghantaran makanan kepada pelanggan, dapat mencari rezeki yang halal dalam situasi ekonomi yang tenat sekarang. Ramai graduan hari ini tidak mempunyai perkerjaan.

4. Kejadian 5 anak muda yang bekerja dengan Foodpanda disaman RM1,000 seorang semasa mereka rehat dan makan di wakaf terbuka semasa masih beruniform kerja penuh amat mengecewakan. Mereka hanya dapat sekitar RM3 hingga RM5 untuk satu hantaran dan untuk mengumpul wang denda RM1,000 memerlukan mereka menghantar makan sebanyak 200 kali atau lebih dalam sebulan. Itupun jika pesanan makanan tinggi.

5. Rakyat tidak mempertikaikan peraturan serta SOP PKP sangat, tetapi rakyat mempersoalkan sikap pilih bulu dan kurangnya budi bicara yang bijaksana oleh pihak berkuasa.

6. Ramai sahaja VIP yang berkumpul tanpa mematuhi penjarakan sosial dan tidak memakai pelitup muka masih bebas tanpa tindakan atau amaran pun.

7. Anak muda ini yang mendapat RM3 hingga RM5 bagi satu hantaran tidak mempunyai pejabat dan ada yang tinggal jauh dari tempat mereka bertugas. Mereka akan hilang waktu kerja dan turut terpaksa menanggung kos minyak motor pergi balik untuk pulang ke rumah dengan pendapatan tidak seberapa itu.

8. Kita patut berterima kasih dan bersyukur anak anak muda ini bukan saja rajin dalam pekerjaan tetapi lebih baik mereka memilih menjadi penghantar makanan dengan syarikat seperti Foodpanda dan memberi khidmat penting kepada masyarakat daripada menjadi penyumbang aktiviti gejala sosial besar seperti mat rempit yang berleluasa di Terengganu sebelum ini.

9. Kita patut berbangga kerana anak muda yang menjadi penghantar makanan sanggup memilih berkerja keras ditengah panas dan hujan menyara hidup secara halal dan bukan mengemis meminta minta tetapi malangnya mereka diuji dengan hukuman tanpa budi bicara.

10. Ironis peristiwa ini berlaku di Parlimen Kuala Nerus di mana ahli parlimennya yang bertaraf menteri bergaji puluhan ribu. Menteri ini juga terlibat dalam insiden tidak kuarantin selepas pulang dari Turki. Tiada tindakan yang adil oleh kerajaan sehinggalah ia dibongkar di parlimen dan mendapat tekanan dari rakyat.

11. Insiden saman RM5,000 ke atas 5 rider penghantar makanan ini sekali lagi menunjukkan polisi antara dua darjat di mana hanya ikan bilis yang kecil dihukum sementara ikan jerung terus terlepas tindakan.

12. Ianya boleh diibaratkan seperti membunuh nyamuk dengan bedil dan memburu gajah dengan jarum.

13. Bilakah masanya agaknya pembesar negara dan wakil rakyat boleh menjadi contoh yang boleh dibanggakan oleh anak anak kita hari ini.

14. Mereka bukan meminta imbuhan percuma atau subsidi, tetapi mereka hanya mengharapkan keadilan, timbang rasa dan budi bicara dari kerajaan Perdana Menteri yang mengelar dirinya sebagai “Abah”.

SENATOR DATO’ RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH
Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu

CATEGORIES

COMMENTS