Panas! UMNO keluar arahan larang ahli kerjasama dengan Bersatu

Panas! UMNO keluar arahan larang ahli kerjasama dengan Bersatu

[DIKEMASKINI] UMNO Bahagian Bukit Gantang pada Khamis mengeluarkan satu notis rasmi kepada semua ahli untuk tidak membenarkan sebarang bentuk kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Surat yang dimajukan kepada Exco UMNO Bahagian, jawatankuasa bahagian dan ketua-ketua sayap bahagian serta cawangan itu menggesa supaya pemimpin dan ahli di setiap peringkat tidak bekerjasama dengan mana-mana parti lawan termasuklah Bersatu.

Perkara yang diputuskan menerusi perbincangan Exco Biro Politik UMNO Bahagian Bukit Gantang itu dibuat selepas wujud pelawaan daripada Ahli Parlimen Bukit Gantang daripada Bersatu untuk bertemu dengan ketua-ketua Wanita UMNO cawangan Parlimen berkenaan.

Pertemuan yang dijadualkan pada Jumaat itu adalah di luar pengetahuan dan makluman UMNO Bahagian dan dianggap sebagai satu tindakan melanggar hirarki parti.

Setiausaha UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohd Saadin Yusof berkata, surat itu dikeluarkan sebagai satu formaliti menunjukkan ketegasan dan pendirian UMNO Bahagian berhubung perkara itu.

Katanya, ramai ahli terutama peringkat akar umbi yang belum jelas kedudukan bentuk kerjasama antara UMNO dan Bersatu terutama di peringkat bahagian.

“Saya kira sewajarnya pendekatan seperti ini dibuat awal terlebih dahulu supaya ahli-ahli kita tidak tertanya-tanya.

“Buat masa ini, ketetapan yang kita buat adalah untuk melarang sebarang bentuk kerjasama kecualilah ianya telah diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO,” katanya.

Pimpinan UMNO Bahagian Bukit Gantang sebelum ini pernah mendesak agar Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal meletak jawatan kerana mendakwa telah mengkhianati parti.

Desakan itu dibuat selepas Syed Abu Hussin mengumumkan keluar UMNO serta meletakkan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang dan kini telah menyertai Bersatu. – SH

CATEGORIES

COMMENTS