Kerajaan negeri lancar program Tuisyen Saarani untuk bantu pelajar keluarga miskin

Kerajaan negeri lancar program Tuisyen Saarani untuk bantu pelajar keluarga miskin

Kerajaan negeri hari ini melancarkan Program Tuisyen Cikgu Saarani, iaitu inisiatif baru kita untuk membantu kira-kira 200,000 anak-anak Perak yang akan menduduki peperiksaan utama.

Sasaran utama ialah untuk bantu murid dan pelajar yang datang daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah (B40) untuk mengikuti kelas tuisyen dan kelas tambahan bagi subjek-subjek kritikal iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.

Pada masa ini, kerajaan beri tumpuan untuk membantu 40,642 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya menduduki ujian pada tahun 2020 tetapi ditangguhkan ke tahun ini ekoran pandemik COVID-19.

Program ini juga bakal memberi manfaat secara langsung kepada 37,894 pelajar yang menduduki peperiksaan utama pada 2021, pelajar Tingkatan Empat (30,320), pelajar Tingkatan Satu (31,761) dan murid Tahun satu (31,742).

Melalui program ini, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak akan menyediakan guru dan tenaga pengajar yang memberikan tuisyen atau kelas tambahan di seluruh negeri Perak.

Program ini bakal merangkumi inisiatif dan bantuan khusus iaitu:

i) Tuisyen dan kelas tambahan
ii) Bantuan khas makanan
iii) Program latih tubi menjelang peperiksaan
iv) Seminar menjawab soalan peperiksaan
v) Penyediaan bahan pengajaran berasaskan video interaktif

Buat permulaan, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM2.71 juta bagi bantuan khas makanan kepada 35,639 calon SPM yang menghadiri sesi persekolahan dan kelas tambahan di sekolah sebagai persiapan akhir menjelang peperiksaan.

Calon SPM berkenaan akan diberikan makanan tengahari secara harian selama 15 hari sehingga mereka menduduki peperiksaan yang dijadualkan bermula pada 22 Februari ini.

Ini adalah satu permulaan.

Saya dan rakan-rakan dalam kerajaan negeri juga sedang mencari jalan untuk bantu anak-anak kita daripada keluarga susah yang berdepan kesukaran mengikuti Pengamalan Pengajaran dan Pendidikan Di Rumah (PdPDR) kerana ketiadaan peranti dan masalah capaian internet.

Banyak pihak yang sedia membantu. Satu kolaborasi besar sedang kita usahakan untuk jayakan program ini secara lebih meluas dalam masa terdekat ini.

Mudah-mudahan usaha kerajaan negeri memperkasa pendidikan sebagai agenda membasmi kemiskinan akan mencapai kejayaan bermakna, Insya-Allah.

CATEGORIES

COMMENTS