KOLUM| Luahan Mat Sabu di Swansea

KOLUM| Luahan Mat Sabu di Swansea

Sejarah Negara

Orang politik tiada istilah bercuti kalau tinggal di tanahairnya sendiri. Sepanjang hidupnya adalah berkerja sebagai ahli politik. Makan, minum, tidur, bermain, shooping dan segala apa jua aktiviti adalah kerja politik. Antara cara untuk bercuti bagi ahli politik ialah masuk hospital atau pergi keluar negeri. Saya pernah jumpa almarhum Ust. Azizan Razak sewaktu menjadi Menteri Besar Kedah. Saya jumpa almarhum di hospital tetapi di dalam wad itu, saya tengok almarhum biasa saja. Nasir Mustafa, ADUN Kubang Rotan kata Ust. Azizan Razak masuk hospital untuk rehat. Pihak hospital akan buat notis agar tiada lawatan dibenarkan pada masa itu.

Satu cara lain ialah pergi keluar negeri. Ada budget sikit, pergilah ke Indonesia atau negara-negara Asia Tenggara. Ada modal lebih sikit, pergi Eropah atau Australia. Ada juga pergi buat umrah. Bertaubat kerana dah kelepet duit rakyat, menipu, sombong dan sebagainya. Ibadat di tanah suci ganjarannya seribu kali ganda. Pakai kopiah dan jubah putih berselfie untuk pikat pengundi. Sharelah ramai-ramai. Itulah cara orang politik bercuti. Itupun ada ramai orang kenal dan terpaksa melayan juga. Kerja ahli politik di Malaysia ialah melayan kehendak orang ramai. Pelayan rakyat.

Sepanjang empat tahun saya duduk kat UK, ramailah pimpinan politik pembangkang dan kerajaan yang saya temui. Daripada Tun Mahathir, Zahid Hamidi, Ust. Hadi Awang, Dr. Hasan Ali, Ust. Solehin Mukhyi, Salahudin Ayub, Nizar Jamaluddin, Zambry Kadir, Hanifa Maidin, Nasaruddin Tontowi, Dr. Rani, Dr. Maria Mahmud, Mahfuz Omar, Kamaruddin Jaafar, Dr Syed Azman, Ust. Mat Hussein dan ramai lagi yang saya tidak ingat. Sebenarnya kebanyakan mereka ke UK hendak bercuti. Sebut pada orang kampong, hendak membuat lawatan bertemu para pelajar. Betullah tetapi sebenarnya lebih kepada hendak bercuti.

Biasanya masa bercuti diambil sewaktu sebelum atau selepas muktamar atau pilihanraya umum. Kalau kalah dalam PRU, bercutilah seminggu dua ke UK. Bawa hati luka. Memujuk jiwa.

Sepanjang tempoh saya di UK, ada dua kali Bang Mat ke rumah kami di Swansea. Rumah kami ada tiga bilik. Sewanya 500 pound sebulan. Terletak di Alexandra Road berhampiran dengan Universiti Swansea. Landlordnya ialah Brother Manan, seorang British keturunan Maldives. Dia juga imam di Swansea University Mosque. Sebelum itu, saya tinggal di Hanover Street berhampiran dengan Swansea city tapi jauh dari sekolah anak-anak saya. Rumah itu milik Bro. Kudus, peniaga restoran masakan Asia. Beliau seorang British yang berketurunan Bangladesh.

Sekali bang Mat pergi ke rumah saya bersama seorang kawannya, Roslan Temerloh. Sekali dengan Kak Normah, arwah Aziz dengan isterinya. Setiap kali ke London, pasti Bang Mat call saya. Seingat saya sekali lagi kami jumpa di London. Jarak Swansea ke London jauh. Kira-kira 340 km atau 5 jam perjalanan berkereta. Jarang orang Malaysia pergi ke Swansea. Swansea ini kira-kira macam Ulu Benut (ini istilah Prof. Dr. Hamirthin Ithnin semasa mengajar saya di UM dulu)

Bang Mat tumpang tidur kat rumah kami. Kat rumah kami, Bang Mat masak nasi Arab dengan kambing. Bang Mat akan ajak saya pergi kedai halal untuk cari daging kambing atau biri-biri serta barang keperluan memasak. Bang Mat tak bagi saya bayar. Bang Mat kata, ‘Hiss tak payah, biar Bang Mat yang bayar. Hang pun bukan ada duit sangat pun’. Memanglah time tu memang marahean sungguh.
Bang Mat masak sendiri. Saya, isteri dan anak-anak saya hanya tolong sikit-sikit. Bang Mat suruh saya panggil budak-budak Malaysia yang ada di Swansea dan Lampeter untuk makan sekali. Saya pun call, ramailah yang datang nak jumpa Bang Mat. Bang Mat bersembang dengan kami semasa makan-makan secara santai. Tentulah cerita politik. Bang Mat pesan agar kami pulang nanti bawalah nilai-nilai Barat yang baik untuk dipraktikkan di tanahair. Dia tidak cakap pun agar mereka sokong pembangkang.

Semasa Bang Mat sampai di rumah saya pada waktu malam, Bang Mat tidak tidur. Dia ‘jet leg’. Malam itu dia masak sendiri kat dapur rumah. Sebelum kami tidur, dia kata nak masak air. Saya pun tidak kisah. Esok pagi, Bang Mat dah siapkan sarapan pagi kami! Bang Mat tau di mana kami letakkan kopi, teh, gula, roti, rempah ratus. Bang Mat buat macam rumah sendiri. Memang power! Selepas kami balik ‘for good’, Bang Mat janji nak masak di rumah saya di Teluk Intan. Memang dia tunaikan janji itu beberapa tahun lalu.

Di Swansea, saya bawa pergi jalan-jalan naik kereta Renault Magane saya. Kawan saya, Ramli Dolah dari Sabah, bermurah hati bawa satu kereta untuk bawa Aziz dan isterinya. Di UK, sebuah kereta tidak boleh lebih muatan. Jika untuk empat orang, jangan lebih empat orang. Bang Mat bayarkan petrol kami.

Sepanjang jalan, Bang Mat sembang impiannya nak jadi nelayan cari ikan di laut Inggeris. Macam dia dah give up jadi ahli politik. Ramai pimpinan Pas terutama di kalangan ustaz-ustaz asyik jaga kepentingan diri sendiri saja. Kuatkan pengaruh, tambah harta, tambah bini dan sebagainya. Sibuk cari gelaran. Macam-macam Bang Mat luahkan. Saya diam sahaja.

Mula-mula saya ajak Bang Mat, arwah Aziz, Kak Normah dan isteri arwah Aziz ke Outlet Bridgend, iaitu kira-kira 30 minit daripada rumah saya. Saya ajak shopping kedai Clark, Mark & Spencer, Next, Primark, Sportworld dan sebagainya. Outlet Bridgend memang menawarkan harga yang reasonable untuk kami boleh beli. Discountnya banyak. Itupun Kak Normah merungut mahal. Memanglah mahal kalau pakai duit Malaysia. Sebenarnya harganya sangat murah jika berbanding harga di Malaysia.

Saya tengok bang Mat tidak beli apa-apapun. Bang Mat temankan Kak Normah shopping. Kalau kat Malaysia, mereka tidak sempat berdua-duaan begini. Sesekali saya biarkan mereka jadi seperti belangkas.

Saya juga ajak pergi ke marina Swansea dan bawa sekitar kedai-kedai jual ikan segar. Jarang saya beli ikan segar. Mahal. Saya bawa tengok kapal layar yang diparking di situ. Memang tidak mampu beli. Tetapi sekurang-kurangnya mampu melihat kemewahan dengan mata sendiri.

Bang Mat minta saya bawa ke kedai untuk minum-minum kopi. Saya bawa Bang Mat ke Mumbles, sebuah pekan kecil 10 minit daripada rumah saya. Di situ ada restoran Itali. Dia order kopi. Saya order coklat. Sembang-sembang. Sepanjang saya di UK, tidak pernah sekalipun Bang Mat buat pengisian kepada para pelajar dalam program tarbiyah Hizbi walaupun pada masa itu Bang Mat adalah pimpinan atasan Pas. Sekarang baru saya faham mengapa hal ini berlaku. Memang ada nasihat dari pihak tertentu dalam Pas untuk tidak bagi pelajar menjemput Bang Mat memberi pengisian dalam program tarbiyah mereka.

Pimpinan yang datang atas jemputan Hizbi (nama lama) akan diurus semua perbelanjaan. Kami para pelajarlah yang menampung sebahagian daripada perbelanjaan mereka sepanjang di UK. Bagi golongan yang sudah berkerja, mereka lebih berkemampuan memberi sumbangan yang lebih. Begitulah jihad kami ketika itu.

Bang Mat Sabu datang ke UK, tiada pelajar yang akan menanggung perbelanjaannya di UK. Berbeza kalau pimpinan Pas lain datang. Kadangkala kami yang terpaksa tanggung perbelanjaan mereka. Bang Mat lebih suka bersembang santai daripada memberi ceramah walaupun pidatonya hebat. Bang Mat ajak jumpa di Manchester tetapi saya tidak dapat nak datang ke situ. Saya tunggu Bang Mat di London saja. Di London, bang Mat duduk di hotel budget dekat stesyen keretapi St. Pancras. Beli kebab dan burger orang Turki di tepi jalan. Pernah sekali Bang Mat minum di restoran agak standard. Minumlah secawan kopi sambil merasa hidup seperti orang putih. Tetapi harganya mahal gila sampai menyumpah-yumpah Bang Mat. Depa pun bukan tahu, kita orang menyumpah guna bahasa Melayu!

Saya sembang banyak dengan Bang Mat di sini. Semasa dia luahkan dulu, saya tidak ambil kisah sangat. Sekarang saya baru faham luahannya ketika itu. Teringat satu dialog dalam filem P. Ramlee. ‘Tak kan tok lebai nak menipu kot?’.

Dr. Muhaimin Sulam

CATEGORIES

COMMENTS